Pages

Wednesday, April 9, 2008

Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu Sabtu ini

KUALA LUMPUR 9 April - Kira- kira 250 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka hadir ke Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu ini.
Majlis itu akan bermula pukul 9 pagi dan dianjurkan oleh Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang menjangkakan hampir 3,000 orang Melayu tanpa mengira fahaman politik akan turut bersama dalam program berkenaan.
Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, sempena majlis itu, satu forum bertajuk 'Memperkasa Perpaduan Melayu Untuk Kesejahteraan Negara' akan diadakan.
Hasil daripada forum itu, katanya, akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu untuk tindakan seterusnya.
Kata beliau, forum berkenaan yang disertai tokoh-tokoh agama dan intelektual Melayu akan berbincang secara terbuka berhubung masalah Melayu pada masa kini.
"Perbincangan adalah terbuka untuk semua aspek dan tidak berselindung di sebalik apa-apa fahaman politik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Antara ahli panel yang akan terlibat, katanya, ialah Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Ismail Hussein; Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Felo Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.
Manakala, pengantara pula ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman.
Tambah Osman, antara lain, program itu bertujuan menyemarakkan semangat, tekad dan azam bangsa Melayu bagi bersatu.
Selain itu, katanya, objektif penganjuran majlis perhimpunan berkenaan adalah bagi mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan negara.
"Ia juga bertujuan menangani hambatan dan cabaran yang mengancam perpaduan Melayu," katanya.
Program itu juga kata beliau, diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai-pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam supaya mematuhi dan memelihara kepentingan agenda Melayu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
BBPM didokong oleh 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam yang memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.
Antara pertubuhan amal Melayu dan Islam yang mendukung penubuhan BBPM ialah Gapena, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, Osman berkata, jemputan telah dibuat kepada para pemimpin Melayu dan Islam dalam parti itu selepas mereka mengisytiharkan komitmen terhadap perjuangan bangsa.
Osman berkata, pihaknya juga akan menjemput tokoh-tokoh Melayu dan Islam terkemuka dalam bidang akademik, ekonomi, pendidikan dan pemimpin NGO untuk menyuarakan pandangan mereka.
Beliau berkata, adalah penting bagi semua orang Melayu, tanpa mengira ideologi politik diberi kesedaran mengenai apa yang akan berlaku kepada bangsa sekiranya masalah perpecahan itu tidak ditangani segera.
tamat...//



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm

No comments: