Pages

Sunday, March 16, 2008

KONTRAK SOSIAL

KONTRAK SOSIAL
Datuk Wan Mohd Mahyiddin Wan Nawang

PENGENALAN

Apa yang disebut sebagai ‘kontrak sosial’ dalam perbicaraan politik negara ini adalah berkaitan dengan persefahaman yang dicapai di antara pemimpin-pemimpin kaum merangkumi beberapa perkara menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Tetapi persefahaman atau ‘kontrak’ ini sering dilupakan dalam obsesi memperkatakan isu-isu semasa, yang diiringi pelbagai tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan kandungan Perlembagaan. Justeru itu ia boleh menimbulkan ketegangan kaum dan menghalang pembinaan negara.

Bagi mengelak kemungkinan yang tidak diingini seperti tercetusnya pertikaian-pertikaian baru di antara kaum-kaum, wajar sama sekali semua pihak menoleh kembali kepada sejarah dan latar belakang penubuhan negara ini demi memperolehi pemahaman mengenainya dan bertindak selaras dengannya.

Negeri-negeri Melayu dan Kolonialisme

Penjajah British apabila mula bertapak di Tanah Melayu pada akhir abad ke 19 bagi tujuan memperluaskan empayarnya dan mengeksploitasi sumber-sumber alam terlebih dahulu melakukan perjanjian dengan Raja-raja Melayu di setiap negeri. Perjanjian-perjanjian ini secara langsung mengiktiraf kedudukan Raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri-negeri. Tetapi sebagaimana yang diketahui, pentadbir-pentadbir British secara beransur-ansur menghadkan kuasa Raja-raja itu demi pewujudan satu pentadbiran yang cekap mengikut tradisi birokrasi Barat demi memperoleh hasil yang sebanyak-banyaknya. Akhirnya, Raja-raja Melayu sebagai pemerintah tinggal pada nama sahaja kerana segala urusan pentadbiran negeri dikendalikan oleh Residen-residen atau Penasihat-penasihat British.

Raja-raja Melayu, pembesar-pembesar di sekeliling mereka dan akivis-aktivis politik Melayu menimbulkan kesangsian mereka terhadap perbuatan British ini. Ramai juga pegawai-pegawai penjajah yang bersimpati dengan tuntutan-tuntutan mereka agar sifat negeri-negeri Melayu dikekalkan. Tetapi kepentingan politik dan ekonomi Inggeris tidak mudah diketepikan. Ia menjadi keutamaan berbanding dengan tuntutan orang-orang Melayu yang akhirnya dikorbankan di bawah kehendak kapitalisme yang menyeluruh.

Penghijrahan Besar-besaran

Pun begitu tidak menjadi hal yang besar kepada orang-orang Melayu jika sekadar British menjajah dan membangunkan ekonomi. Apa yang amat dikhuatirkan ialah perbuatan sengaja membawa buruh-buruh asing sebagai instrument British dalam mengeksploitasi sumber-sumber alam, khasnya bijih timah dan membuka tanah-tanah di negeri-negeri Melayu untuk tujuan perladangan getah. British tidak memperdulikan rintihan dan tentangan orang-orang Melayu walaupun mereka cukup sedar kesan-kesan yang akan menimpa mereka kelak sebagai satu bangsa.

Kebanjiran orang-orang asing yang dating berasak-asakan pada awal abad ke 20 tidak boleh dibuat apa-apa lagi oleh orang Melayu. Di empat buah Negeri Melayu Bersekutu ( Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang ) pada tahun 1901, bilangan imigran dari Cina dan India sudah melebihi jumlah penduduk Melayu. Daripada jumlah penduduk negeri-negeri itu seramai 643,152 orang, 285,202 adalah Melayu, 299,739 Cina dan 58,211 India.

Degan imigrasi ini telah membawa implikasi besar kepada demografi, politik dan rupa masyarakat Tanah Melayu. Orang Melayu merupakan 44 peratus sajaha dan menjadi minority di negeri-negeri mereka sendiri. Pada tahun-tahun selepas ini sehinggalah Perang Dunia Yang Kedua, keadaan tidak banyak berubah, Jika diambil Tanah Melayu seluruhnya pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut:


1911 1921 1931 1941

Melayu 1,437,700 1,651,000 1,862,000 2,278,000

Cina 916,600 1,174,800 1,709,400 2,379,200

India 267,200 471,700 624,400 744,200

Lain-lain 51,300 60,600 89,900 98,800


Dari segi peratusan, penduduk Melayu telah merosot dari 53.7 peratus pada 1911 kepada hanya 41 peratus pada 1941.


Dasar Pendidikan Dan Ekonomi

British sedar kemasukan buruh asing begitu ramai akan menyebabkan orang Melayu tewas dalam persaingan bagi merebut peluang-peluang di negara ini. Namun begitu ia tidak menghalang British dari menjalankan dasar-dasar pro kapitalis yang akan mengukuhkan kedudukan kaum imigran. Apa yang dapat membantu orang Melayu ialah satu dasar pendidikan moden bagi menambah ilmu pengetahuan mereka. Tetapi ini tidak dilaksanakan.

Selain pendidikan Inggeris kepada segolongan anak-anak bangsawan Melayu untuk membantu pentadbiran Inggeris, pada umumnya pendidikan Melayu adalah daif dan tidak bertujuan menjadikan mereka maju. Khasnya dasar R.O Winstedt Darjah 6 di sekolah rendah saja ( berkebun, membuat bakul dan lain-lain ). Setelah lulus, mereka ini akan menjadi petani secukup hidup dan tidak akan memasuki sektor moden.

Anak-anakkaum imigran pula berpeluang belajar disekolah-sekolah menengah Ingeris yang wujud di Bandar-bandar selain pendidikan Cina yang berdasarkan kurikulum di negara China. Kesannya perbezaan pencapaian di antara anak-anak Melayu dan bukan Melayu dalam pendidikan begitu lebar dan sukar dirapatkan. Dasar pendidikan British juga telah memisahkan sekolah-sekolah yng berasaskan bahasa-bahasa yang berlainan tidak menjurus kepada perpaduan.

Dari segi ekonomi, terang bahawa British mengharap kepada buruh-buruh asing untuk memajukan ladang-ladang, lombong-lombong dan perdagangan umumnya atas kepercayaan bahawa mereka itu rajin berusaha berbanding tenaga kerja tempatan ( iaitu orang-orang Melayu ). Orang-orang Melayu sudah ditetapkan untuk mengerjakan tanah-tanah pertanian dan diasingkan dari sector moden. Akibat dari dasar pengasingan ini, orang Melayu tertinggal jauh di belakang dalam sektor ekonomi moden, yang kesannya terasa hingga sekarang.

Malah tanah milikan orang Melayu sendiri berada dalam bahaya terlucut dari tangan mereka. Dengan dasar perluasan lading-ladang getah yang dapat memberi hasil-hasil lumayan, pekebun-pekebun kecil getah Melayu telah mula menjual tanah mereka kepada bangsa asing. Pemuka-pemuka Melayu dan kerajaan British sendiri sedar apa yang akan menimpa orang-orang Melayu, lalu mewujudkan Enakmen Tanah Rezab Melayu pada tahun 1913 ( dan dikekalkan hingga sekarang ).

Undang-undang ini boleh dianggap bertantangan dengan tuntutan kapitalisme, tetapi ianya perlu jika tidak mahu melihat penduduk tempatan hilang tanah air mereka.

Melayu Dalam Pentadbiran Inggeris

Dengan Raja sebagai pemerintah, orang-orang Melayu menguruskan pentadbiran negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan Inggeris. Betapa pincang pun pentadbiran ini! Setelah kemasukan Inggeris dengan sistem Residennya, secara perlahan-perlahan kuasa orang Melayu mentadbirkan negeri-negeri mereka diambil alih oleh pegawai-pegawai British. Ini berlaku terutama sekali di negeri-negeri melayu Bersekutu yang telah menimbulkan protes dari Raja-raja, pembesar-pembesar dan nasionalis-nasionalis Melayu.

Sebagai satu konsesi kepada orang Melayu dan juga bagi keperluan Inggeris sendiri, sebilangan anak-anak pembesar Melayu direkrut ke dalam pentadbiran Inggeris. Ini menjadi satu keistimewaan kepada orang Melayu, tetapi ia bukan merupakan suatu hak yang baru memandangkan telah wujud pemerintahan Melayu di negei-negeri sebelum ini.
Bukan Melayu Tiada Hasrat Untuk Menetap
Pada keseluruhan masa, gambaran yang diberi oleh Inggeris ialah ini adalah negeri Melayu yang dilindungi oleh mereka. Justeru orang Melayu tidak perlu bimbang terhadap penghijrahan orang-orang asing yang begitu ramai. Mereka itu akan pulang ke negara masing-masing apabila tiba masanya.

Maka inilah yang terjadi, dengan beratus-ratus ribu mereka itu pulang berikutan kemelesetan pada awal 1930an. Tetapi pemergian mereka itu ditambah dengan kedatangan-kedatangan lain yang baru.

Tumpuan utama buruh asing ini ialah untuk mencari kekayaan.Tidak ada minat yang nyata di kalangan mereka untuk menetap di negara ini. Mereka adalah rakyat negara China atau India dengan kecenderungan politik mereka diarah kepada negara-negara tersebut. Bagi orang-orang Cina bermakna penglibatan dalam gerakan Parti Koumintang dan Parti Komunis sebagai ekstensi daripada politik tanah besar China. Bagi orang-orang India, pemerintahan mereka kepada apa yang sedang berlaku di India.

Apa-apa kesedaran kebangsaan yang diarah kepada negara ini boleh dikatakan terdapat pada orang-orang Melayu. Mereka itu yang membincang baik buruk penjajahan dan mahu membentuk pemerintahan yang diasaskan kepada orang-orang Melayu. British tidak melayan tuntutan-tuntutan mereka kerana ingin terus mengeksploitasi kekayaan negara ini. Bagi memuaskan hati mereka, British meneruskan mitos bahawa ini adalah negeri Melayu sehinggalah kedatangan Jepun pada 1941.

Penyatuan Tanah Melayu dan Implikasi

Sebagaimana yang diketahui, selepas Perang Dunia Yang Kedua kerajaan British memperkenalkan konsep Malayan Union bagi menggantikan Negeri-negeri Melayu. Pentadbiran yang baru ini tidak akan lagi berpecah mengikut negeri tetapi berada di bawah satu unit merangkumi semua negeri-negeri untuk lebih cekap dan mencerminkan keperluan masa.

Paling penting dalam \ konsep ini ialah tidak wujud lagi kepura-puraan bahawa negeri-negeri Melayu masih di bawah pemerintahan Raja-raja Ia akan menjadi koloni British, yang memberi hak yang sama kepada semua rakyat tanpa mengambil kira keistimewaan penduduk yang berasal tempatan. Hak kerakyatan akan dibuka dengan seluas-luasnya kepada mereka yang bermastautin di sini walau selama beberapa tahun saja. Pentadbiran awam juga akan tidak terhad kepada orang-orang Melayu sahaja. Implikasinya ialah bukan saja orang Melayu akan ketinggalan jauh dalam bidang ekonomi, tetapi akan hilang kuasa pemerintahan. Dengan kata lain, mereka akan terpinggir di negara sendiri.

Maka boleh difahamkan mengapa orang-orang Melayu telah bangkit menentang Malayan Union secara besar-besaran sebagai langkah terakhir yang dapat menyelamatkan mereka. British bersetuju menghapuskan Malayan Union dan setelah perundingan dengan wakil-wakil UMNO dan Raja-raja MElayu menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Hak istimewa orang Melayu dikembalikan, kedudukan Raja-raja baik seperti sebelum ini dan syarat-syarat kerakyatan diperketatkan.

Tetapi sifat sebagai negeri-negeri Melayu semata-mata tidak wujud lagi. Orang-orang Melayu menerima cadangan kerakyatan kepada orang-orang bukan Melayu yang bererti mereka itu tidak lagi menetap secara sementara. Ini kerana tidak ada pilihan lain bagi orang-orang bukan Melayu yang telah melalui kesukaran semasa Perang dan tidak lagi berminat untuk pulang ke negara-negara asal mereka.

Dengan pemberontakan Komunis mengancam keselamatan dan ekonomi Tanah Melayu, menyebabkan British menawarkan konsesi-konsesi yang lebih kepada penduduk Cina bagi mendapat sokongan mereka. Malalui perbincangan-perbincangan dalam jawatankuasa Perhubungan Kaum ( CLC ) yang ditubuhkan pada 1949, pemimpin-pemimpin Melayudiminta melonggarkan pegangan mereka dalam soal kerakyatan kepada bukan Melayu, tanpa melucutkan hak-hak istimewa mereka. Kesannya ialah Peraturan Kerakyatan 1952 yang membuka luas kerakyatan kepada penduduk bukan Melayu.

Didapati mengikut peraturan ini telah memberi kerakyatan secara automatic kepada antara 50 dan 60 peratus orang Cina dan 30 peratus orang India. Termasuk orang Melayu, lebih 70 peratus daripada penduduk Persekutuan akan menjadi rakyat. Dari segi angka: 2,650,000 Melayu, 1,100,000 Cina dan 180,000 India.

Bagi mengurangan kemarahan orang-orang Melayu mereka diyakinkan bahawa ekonomi mereka akan diperbaiki. Tetapi banyak yang berpendapat orang Melayu mengalami kerugian dalam prtukaran ini. Kerana mencapai kemajuan ekonomi tidak begitu mudah seperti mana meepaskan kuasa politik dan pemerintahan melalui pemberian kerakyatan. Tidak cukup dengan ini, Jeneral Templar memperkenalkan kuota 4:1 antara pegawai Melayu dan bukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, dengan itu orang Melayu hilang walau tidak keseluruhannya keistimewaan mereka dalam pentadbiran.

Perundingan Di antara Pemimpin-pemimpin Kaum

Syarat yang dikenakan oleh British bagi kemerdekaan Tnah Melayu ialah mesti terdapat kerjasama antara kaum-kaum bagi membincang masa depan politik negara dan kepentingan mereka di dalamnya. Pergaduhan atau pertikaian pendapat akan melambatkan kemerdekaan.

Perundingan mula berangsung pada 1953 dalam beberapa sesi yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dan MCA ( disertai oleh MIC pada 1955 ). Tunku melatakkan syarat bahawa ini negeri Melayu sebagai asas perbincangan, manakala Tan Lock yang mewakili MCA menuntut kerakyatan bagi orang-orang bukan Melayu berdasarkan prinsip jus soli. Tetapi kata putus mengenai perkara-perkara asas tidak dicapai sepenuhnya menjelang pilihanraya Federal 1955.

Sebab itu janji-janji dalam Manifesto Perikatan tidak memasukkan perkara-perkara tersebut. Setelah kemenangan Perikatan dalam pilihanraya ini barulah perbincangan yang lebih terperinci dijalankan mengenai bentuk pemerintahan dan hak-hak setiap kaum. Persetujuan yang dicapai di antara pemimpin-pemimpin kaum setelah banyak pertimbangan dan tlak ansur adalah terkandung dalam Memorandum Perikatan. Kerana keseimbangannya, ia diterima oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada 1956 bagi menyiapkan Perlembagaan Tanah Melayu.

Selain bentuk pemerintahan yang bersifat persekutuan dan berlandaskan demokrasi berparlimen dan lain-lain perkara bagi menjamin kestabilan politik dan keamanan, ialah yang berkait dengan hak-hak dan kepentingan setiap kaum. Dalam keadaan masyarakat yang homogen ( terdiri dari satu kaum ), perkara-perkara ini tiada relevannya tetapi dalam keadaan negara yang mengandungi berbagai kaum, ia perlu ditakrifkan secara terperinci.

Perkara-perkara ini melingkungi kerakyatan bagi bukan Melayu, hak-hak istimewa Melayu, agama dan bahasa Kedudukan Raja-raja Melayu dalam pemerintahan juga turut dimasukkan dalam Perlembagaan. Persetujuan yang dicapai di antara pemimpin-pemimpin kaum mewakili parti Perikatan yang menang dalam pilihanraya inilah dikenali sebagai ‘ kontrak sosial’ walaupun ia bukan suatu istilah yang terdapat dalam Perlembagaan.

Tidak dinafikan terdapat banyak tentangan-tentangan dari elemen-elemen dalam setiap kaum terhadap peruntukan-peruntukan yang melibatkan hak-hak kaum. Namun persetujuan-persetujuan yang dimasukkan dalam Perlembagaan itu adalah yang paling baik untuk kepentingan semua kaum berbanding dengan cadangan-cadangan lain yang berbanding dengan cadangan-cadangan lain yang berasaskan kehendak satu-satu kaum. Pengorbanan terpaksa dibuat dengan melibatkan semua pihak demi kewujudan sebuah negara yang harmonis dan dapat membangun.

BIDANG-BIDANG KONTRAK SOSIAL

A. Kerakyatan

Seperti yang disebut, sebelum Perang Dunia Yang Kedua orang-orang asing yang berada di Tanah Melayu tidak berhasrat untuk menetap di sini dengan itu tidak imbul soal kerakyatan untuk mereka itu. Hanya segelintir penduduk Cina yang tinggal di negeri-negeri Selat ada taraf kerakyatan iaitu kerakyatan British.

Orang Melayu sebagai penduduk asal tempatan dengansendirinya menjadi rakyat dalam satu-satu negeri Melayu. Mereka dikenali sebagai rakyat Raja yang tidak memerlukan sebarang pengesahan dokumen atau oeruntukan Perlembagaan. Kerana setiap negeri itu diperintah oleh Raja yang berlainan. Kerana setiap negeri itu diperintah oleh Raja yang berlainan, kerakyatan orang Melayu adalah mengikut satu-satu negeri di mana mereka berada, kesetiaan mereka adalah kepada Raja di negeri mereka itu.

Dalam keadaan ini mereka merasa bimbang apabila terdengar suara sesetengah orang bukan Melayu yang menuntut kesamaan dengan orang Melayu. Namun rakyat Raja terhad kepada orang-orang Melayu yang memberikan mereka keistimewaan.

Keadaan berubah secara radikal dengan penubuhan Malayan Union ( 1946 ) yang dibuat pertama kalinya mewujudkan satu taraf kerakyatan bagi seluruh negara, tanpa mengira asal keturunan penduduknya. Berasaskan prinsip jus soli dan mengandungi syarat-syarat yang sangat longgar bagi mereka yang lahir di luar negara ( memerlukan 5 tahun saja bermastautin da tanah Melayu ), boleh dikatakan semua orang-orang bukan Melayu layak menjadi rakyat, walaupun tidak mengetahui bahasa Melayu dan kesetiaan mereka kepada negara diragiu. Dengan kekuatan ekonomi mereka berbanding dengan orang-orang Melayu yang rata-rata miskin dan daif, secara berkesannya orang bukan Melayu akan turut menguasai pemerintahan.

Dengan tumbangnya Malayan Union tidak bererti kerakyatan akan dinafikan kepada bukan melayu. Cuma syarat-syarat kerakyatan itu dijadikan lebih ketat, dengan prinsip-prinsip jus soli diketepikan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948. Tempoh bermastautin di dalam negara juga perlu lebih lama untuk layak menjadi rakyat. Dengan itu sejumlah kecil saja orang bukan Melayu berjaya menjadi rakyat. Tetapi syarat-syarat yang ketat ini dilonggarkan semula berikutan perbincangan di antara pemimpin-pemimpin kaum dalam dan cadangan-cadangannya dilaksanakan pada 1952. Walau prinsip yang dipakai hanya separuh jussoli sebahagian besar penduduk bukan Melayu sudah layak menjadi rakyat. Orang Melayu telah membuat konsesi ini demi kerjasama dengan kaum-kaum lain dan tidak kurang kerana tekanan British.

Setelah menang pilihan raya 1955 prinsip jus soli bagi kerakyatan yang ditentang oleh orang-orang Melayu selama ini diterima sebagai sebahagian daripada pakej perundingan di antara pemimpin Perikatan. Orang-orang bukan Melayu yang lahir di tanah Melayu pada Hari Merdeka dan selepasnya secara automatic menjadi rakyat dengan dengan segala hak-haknya dengan syarat pengetahuan Bahasa Melayu yang minimum. Malah bagi segolongan orang-orang bukan Melayu yang berusia, syarat bahasa diketepikan sama sekali. Hasilnya dengan perlaksanaan dasar kyang baru, sebahagian besar oarng bukan Melayu diterima menjadi rakyat.

Implikasinya sebagai rakyat mereka ini berhak menikmati segala kemudahan-kemudahan yang ada dan diizinkan oleh negara, termasuk hak berpolitik dan menyertai pemerintahan, menceburi perniagaan dan lapangan ekonomi dengan seluas-luasnya, mencapai kemajuan dalam pendidikan dan lain-lain. Malah melalui demokrasi meeka boleh mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada orang Melayu dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan.

Hak kerakyatan dengan syarat-syarat yang liberal adalah hadiah yang paling besar diperolehi orang-orang bukan Melayu memandangkan tempoh penghijrahan mereka yang sangat baru. Ia merupakan kejayaan perjuangan pemimpin-pemimpin mereka dalam berunding bagi mendapatkan hak ini diterima. Kpeada orang-orang Melayu ia merupakan suatu pengorbanan yang iada tolok banding dalam menerima kerakyatan bukan Melayu kerana ia sekaligus menyamakan status penduduk asal dengan pendatang-pendatang.

B. Hak-hak istimewa Melayu

Dalam menerima kerakyatan bukan Melayu dan segala hak yang berkaitan, orang-orang Melayu terdedah kepada persaingan dalam semua lapangan baik politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Tiada jaminan bahawa mereka dapat bertahan dalam persaingan ini, satu hakikat yang diakui oleh penjajah Inggeris. Maka dengan itu wujud perlindungan dan kedudukan istimewa yang diberi kepada orang Melayu.

Semasa perundingan di antara pemimpin-pemimpin kaum pada 1950’an, persetujuan dicapai bagi melanjutkan hak-hak istimewa Melayu seperti yang terkandung dalam Memorandum Perikatan. Pemimpin-pemimpin bukan Melayu bersedia menerimanya kerana kedudukan orang Melayu dalam ekonomi dan pendidikan mereka jauh ketinggalan, yang memerlukan bantuan-bantuan khusus melalui peruntukan-peruntukan tertentu.

Suruhanjaya Reid telah mengambil kira Memorandum Perikatan sebagai yang wajar tetapi setelah menimbangkan hak-hak semua rakyat di bawah demokrasi, mengesyorkan hak-hak istimewa Melayu adalah untuk tempoh lima belas tahun saja. Jelas syor ini tidak adil kepada orang-orang Melayu yang telah berkorban dalam berkongsi kerakyatan dengan penduduk bukan Melayu. Ianya juga tidak realistic kerana untuk satu-satu bangsa menjadi cukup berdaya saing, tiada batasan waktu boleh ditetapkan. Orang Melayu rata-rata termasuk wakil-wakil UMNO menentang keras syor suruhanjaya ini.

MCA sendiri bersetuju dengan cadangan asal Perikatan berhubung dengan hak istimewa Melayu diguna pakai iaitu tiada batasan waktu untuknya, sebaliknya ia boleh dikaji semula dari masa ke semasa. Dengan itu lahirlah Fasal 153 dalam Perlembagaan yang memperincikan peruntukan yang berkaitan. Orang-orang Melayu diberi keutamaan dalam empat lapangan: tanah simpanan, kuota untuk penerimaan ke dalam perkhidmatan awam, kuota dalam pengeluaran permit atau lessen untuk menjalankan perniagaan-perniagaan tertentu, dan keutamaan yang berhubung dengan dana pelajaran dan bentuk-bentuk bantuan bagi maksud pendidikan.

Tanah: Simpanan Melayu adalah penerusan dasar sebelum merdeka lagi bagi mempastikan pemilikan orang-orang Melayu tidak terusik. Tetapi luas tanah ini di satu-satu negeri itu hendaklah tidak melebihi tanah yang tebuka untuk semua kaum. Tanah dikekalkan dalam bidang kuasa negeri dan statusnya boleh diubah mengikut persetujuan Exco Negeri tetapi tidak harus melanggar peruntukan Akta Simpanan Tanah Melayu. Hakikatnya banyak dari tanah Melayu terjual bagi tujuan pembangunan tanpa diganti balik.

Perkhidmatan Awam: Wujud kuota dal pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Buat sekian lama pada jumlah pada masa penjajahan dan selepasnya, jumlah kakitangan Melayu di Bahagian Pertama dalam pentadbiran awam kurang berbanding dengan bukan Melayu. Ia dapat diperbetulkan selepas terdapat lebih ramai anak-anak Melayu lulus peringkat Ijazah. Kerana dominant orang Melayu dalam pentadbiran, ia dipersoalkan oleh orang-orang bukan Melayu yang mahu keadaan ini diubah bagi pengambilan yang sama rata tanpa mempedulikan tradisi orang-orang Melayu dalam pemerintahan.

Permit dan Lesen: Kuota boleh diadakan untuk orang-orang Melayu dalam permohonan permit dan lessen-lsen perniagaan. Ini bagi membolehkan penyertaan mereka yang lebih luas memandangkan mereka adalah terkebelakang dalam perniagaan dan lapangan ekonomi umumnya. Tanpa kuota ini tiada jaminan yang mereka akan beroleh satu bahagian yang adil dan faedah-faedah ekonomi. Tetapi ini tidak bermakna sengaja melakukan diskriminasi terhadap kaum-kaum lain. Sebarang permit atau perniagaan milikan mereka tidak boleh ditarik balik semata-mata untuk dibahagikan kepada orang Melayu. Dengan itu tiada halangan bagi kaum-kaum bukan Melayu untuk menjalankan perniagaan mereka dengan sebebas-bebasnya.

Biasiswa dan dana pelajar: Pemberiannya kepada orang Melayu adalah bagi membolehkan mereka mengejar kaum-kaum lain dalam bidang pendidikan. Tanpa biasiswa dan dana ini, orang-orang Melayu yang rata-rata bependapatanrendah akan terus tercicir dan ditinggalkan oleh kaum-kaum lain di semua peringkat pendidikan. Kesannya akan dirasai pada ekonomi orang Melayu. Di waktu penjajahan, didapati lebih banyak biasiswa dan dana dikeluarkan untuk pelajar-pelajar bukan Melayu. Selepas merdeka. Keadaan menjadi lebih seimbang, tetapi kini biasiswa sebagai satu hak pelajar-pelajar Melayu untuk turut dibuka kepada pelajar-pelajar bukan Melayu.

C. Kedudukan Raja-raja Melayu

Seperti yang dimaklum, Raja-raja Melayu adalah pemerintah dan mempunyai kedaulatan ke atas negeri masing-masing semasa penjajahan. Dalam mengambil negeri-negeri Melayu, British terlebih dahulu berunding dengan Raja-raja ini dan mengadakan pejanjian dengan mereka. Bermakna tidak ada penyerangan ke atas negeri-negeri Melayu membawa kepada penaklukan secara langsung.

Maka ketika British hendak membentuk Malayan Union pada 1946, usaha-usaha dinuat oleh utusan Inggeris bagi mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu terlebih dahulu. Demikian juga setelah Malayan Union dimansuhkan untuk digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, perundingan di antara Raja-raja, wakil-wakil UMNO dan British diadakan. Kemudiannya majlis tanda tangan oleh Raja-raja setelah persetujuan dicapai.

Dalam menetapkan jumlah kerusi bagi pilihanraya 1955 dan tarikh kemerdekaan, Raja-raja Melayu turut dirujuk. Perlembagaan Merdeka yang dipersetujui oleh wakil-wakil kaum melalui Perikatan menetapkan satu pemerintahan demokrasi yang menerima kedudukan Raja sebagai raja berpelembagaan. Tetapi kuasa Raja-raja Melayu tidak dihapuskan kesemuanya kerana mereka terus menjadi ketua di negeri masing-masing, dan di peringkat pusat, Yang di-pertuan Agong adalah ketua negara. Setiap tahun mereka mengadakan persidangan yang turut dihadiri oleh Predana Menteri bagi membincangkan perkara-perkara kepentingan negara selain berkaitan dengan hak-hakmereka sebagai raja.

Bidang kuasa raja di bawah Perlembagaan sangat penting kepada orang-orang Melayu, khasnya kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai pihak yang melindungi hak-hak istimewa Melayu. Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong adalah juga sebagai ketua angkatan tentera dan pengisytiharan darurat boleh dilakukan atas nama Baginda.

Kedudukan Raja-raja melayu dan kuasa pada mereka wujud sebagai bukti ketuanan Melayu yang bertunjang dalam sejarah negara dan hari ini sebagai symbol pepaduan rakyat dari semua kaum.

D. Islam Sebagai Agama Rasmi

Sejak campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu bermula pada tahun 1874, perjanjian dibuat bahawa Raja-raja Melayu adalah berkuasa keatas agama Islam dan adapt istiadat Melayu. Ianya satu bidang yang penjajah British tidak mahu ganggu kerana tiada kaitan secara langsung dengan kehendak pentadbiran yang efisyen dalam mengeksploitasikan sumber-sumber ekonomi. Biarlah perkara agama dan kebudayaan berada di tangan Raja-raja Melayu sendiri bagi mentenangkan perasaan mereka.

Dasar tidak menganggu ini bagaimanapun berubah dengan Perlembagaan Melayan Union, 1946. Apa-apa langkah yang diambil berkaitan dengan Islam akan ditentukan oleh Gabenor ( bukan Islam ). Raja-raja melayu hanya duduk sebagai pengerusi sebuah lembaga penasihat yangtidak berkuasa lagi ke atas agama. Perubahan ini sangat mendadak dan menunjukkan British tidak peduli kepada sensitiviti orang Melayu dalam satu Perlembagaan yang menghapuskan segala hak mereka. Akibat tentangan orang-orang melayu terhadap peruntukan Malayan Union, ia telah dimansuhkan, dan dalam perkara agama, Raja-raja Melayu kembali sebagai ketua Agama Islam di negeri masing-masing di bawah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Ketika perundingan bagi mencapai kemerdekaan, memorandum Perikatanmencadangkan Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan dan cadangan ini dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid, tetapi tidak mendapat persetujuan Raja-raja Melayu. Mereka ini lebih senang jika Islam tidak bertaraf rasmi di peringkat Persekutuan kerana ianya akan melampaui kedudukan Raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing. Tetapi seorang ahli suruhnjaya ( Hakim Abdul Hamid ) telah mempertahankan Islam supaya betaraf rasmi di peringkat Persekutuan dan ini dimaktubkan dalam Pelembagaan.

Kedudukan Islam ini adalah dalam konteks kebebasan beragama untuk rakyat yang bukan Islam. Tetapi Islam mempunyai kelebihan dalam status rasminya yang membolehkan ia menerima peruntukan kerajaan dalam mengadakan kegiatan-kegiatannya selari cara-acara Islam dalam majlis-majlis rasmi.

E. Bahasa Melayu

Bahasa ini berada pada kedudukan yang sangat unggul sejak sebelum kedatangan penjajah ke negeri-negeri Melayu. Ia dipakai dalam urusan-urusan pemerintahan dan tujuan perdagangantanpa sebarang pihak mempertikaikan status atau fungsinya. Setelah perwujudan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ( 1896 ) di bawah pengawalan British, bahasa Inggeris diutamakan dalam urusan-urusan rasmi, tetapi di negeri-negeri Melayu yang lain, bahasa Melayu tetap dengan keunggulannya.

Bahasa kaum-kaum pendatang tiada tempat, tetapi dibenarkan dlam pendidikan sekolah-sekolah vernacular sepanjang penjajahan. Semasa pendudukan Jepun dominant bahasa Jepun yang diberi keutamaan. Dalam mengkaji semula sistem pendidikan negara pada 1950’an, dua laporan ( Barnes dan Fenn Wu ) telah disediakan. Kedua-duanya mengiktirafkan peranan bahasa Melayu dalam sistem ini selain daripada bahasa Inggeris sebagai mencerminkan kehendak masyarakat. Laporan Razak pada 1956 menegaskan kedudukan utama bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan bagi tujuan perpaduan dan mengintergrasikan kaum-kaum.

Memorandum Perikatan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Ianya dimaktubkan dalam Perlembagaan 1957 dan akan dikuatkuasa sepenuhnya dalam masa sepuluh tahun. Beberapa wakil persatuan sekolah Cina dan badan-badan yang menyokong dasar pelbagai bahasa dalam pentadbiran dan sistem pendidikan telah mengemukakan rayuan mereka kepada British di London, tetapi ditolak.

Dengan kedudukan rasminya, bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran dan urusan-urusan rasmi kerajaan. Ia juga menjadi bahasa penghantar utama di sekolah-sekolah ( kemudiannya di peringkat universiti ). Tetapi pemakaian bahasa-bahasa lain di peringkat bukan rasmi tidak dihalang.

REAKSI-REAKSI DAN PERLAKSANAAN

Persefahaman yan dicapai di antara pemimpin-pemimpin kaum dalam perkara-perkara yang disebut menjadi asas kerjasama yang membolehkan kemerdekaan dicapai. Orang-orang Melayu merasa kerugian yang amat besar dalam membuka luas pintu kerakyatan kepada bukan Melayu yang membolehkan mereka itu menikmati berbagai hak termasuk berkongsi kuasa dalam pemerintahan. Tetapi demi perpaduan dan kesejahteraan bersama, kerakyatan itu perlu diterima dan protes-protes dikendurkan.

Kepada pihak bukan Melayu, mereka boleh berpuas hati kerana dapat menjadi rakyat dalam keadaan satu masa dulu dianggap pendatang-pendatang yang tidak berhak. Tetapi dalam menerima kerakyatan ini, mereka terpaksa bersetuju dengan peruntukan-peruntukan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Bagi mereka, penerimaan kehendak-kehendak orang Melayu adalah pengorbanan yang kecil berbanding dengan hak kerakyatan yang mereka perolehi. Pendapat-pendapat yang rasional ketika ini ( iaitu menolak pandangan ekstrim golongan-golongan tertentu dalam setiap kaum ), Perlembagaan yang diwujudkan adalah sangat seimbang. Tiada kaum beroleh kesemua haknya, tetapi sebaliknya tiada kaum yang rugi kesemuanya.

Setelah kemerdekaan dicapai, bibit-bibit perkauman mula muncul mempertikaikan kandungan Perlembagaan yang membolehkan pembangunan negara dilaksana berasaskan semangat perpaduan dan persefahaman. Elemen-elemen Cina di dalam dan luar MCA menuntut peranan yang lebih baik kepada bahasa Cina dalam sistem pendidikan, manakala golongan-golongan yang lain mahu hak keistimewaan Melayu dihapuskan. Perkauman bertiup lebih luas berikutan kecaman PAP ( ketika berada dalam Malaysia ) ke atas hak-hak orang Melayu dan keadaan ini berterusan menjelang pilihanraya 1969.

Pada pihak orang-orang Melayu pula, mereka mempersoalkan kerakyatan yang diberikan kepada bukan Melayu yang dipandang tidak setia dan perlu dihantar balik ke negara-negara asal mereka. Pertikaian ini berlarutan sehingga tidak dapat dikawal lagi. Ia meletus dalam kejadian konflik kaum yang terkenal sebagai “Tragedi 13 Mei”. Orang-orang Melayu tidak dapat menerima cabaran terhadap hak-hak mereka dalam keadaan pencapaian ekonomi mereka masih rendah. Penghapusan hak-hak itu akan bererti mereka tiada peluang untuk meningkat maju sedangkan kedudukan dominant politik mereka semakin terhakis.

Selepas negara kembali kepada demokrasi pada Februari 1971 berikutan pemerintahan Mageran, satu pindaan Perlembagaan telah dibuat yang melarang sama sekali perbincangan terbuka beberapa perkara termasuk penyoalan terhadap soal-soal kerakyatan ( bagi bukan Melayu ), hak-hak istimewa Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Pindaan ini diluluskan dalam Parlimen dan semua kaum menerimanya demi perpaduan dan mengelakkan konflik.

Rukunegara diperkenalkan yang antara prinsipnya ialah ‘Keluhuran Perlembagaan’ memberi erti peruntukan-peruntukan Perlembagaan berkaitan dengan hak-hak setiapkaum mestilah dihormati. Pandangan-pandangan dan ulasan-ulasan hanya boleh dibuat mengenai perlaksanaannya saja dan tidak sebagai dasar. Dasar Ekonomi Baru yang diwujudkan adalah sebahagian daripada perlaksanaan hak-hak istimewa Melayu supaya dapat membahagikan kekayaan negara ini dengan lebih adil berasaskan kuota kaum. Tetapi untuk mencapainya adalah memerlukan perancangan dan ketegasan pelaksanaan.

Dalam keadaan negara membangun pesat dan semua kaum beroleh sebahagiannya, tidak menghalang sesetengah pihak dari mengungkit soal status ‘bumiputera’ orang Melayu yang memberi keistimewaan kepada mereka. Elemen-elemen dalam MCA pada 1987 mendesak supaya orang-orang bukan Melayu juga diiktiraf sebagai bumiputera kerana kebanyakan mereka ( pada masa itu ) lahir di negara ini selepas merdeka. Penyoalan ini telah menimbulkan tindak balas dari Pemuda UMNO yang jika tidak dibendung boleh membawa kepada konflik kaum. Justeru Operasi Lalang yang telah menahan beberapa pemimpin dari semua parti.

Kemudian pada tahun 2000, dalam keadaan sokongan kepada BN merosot kerana tentangan kuat oleh parti-parti pembangkang dan kumpulan refoemasi, sebuah badan perantaraan pilihanraya persatuan-persatuan Cina atau Suqui telah mengambil peluang membuat tuntutan 17 perkara ke atas kerajaan. Tuntutan ini mengulangi tuntutan-tuntutan sebelumnya yang tidak pernah reda walaupun orang-orang Cina telah beroleh hak kerakyatan di bawah Perlembagaan.

Antara tuntutan-tuntutan itu yang bersifat umum bagi kemajuan ekonomi dan pentadbiran yang baik, boleh diterima. Tetapi apa yang diragukan ialah tuntutan-tuntutan yang jelas mengandungi unsur-unsur perkauman dengan cuba menidakkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan, misalnya: 1) Desakan supaya dihapuskan diskriminasi perkauman 2) Permansuhan perbezaan antara “bumiputera” dengan “bukan bumiputera” 3) Penghapusan sistem kuota yang berasaskan “kaum” dan gantikan dengan sistem pengagihan berasaskan “kebolehan” 4) Penghapusan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti.

Di sinilah jelas bahawa sasaran suqui ialah hak-hak istimewa Melayu yang dirasakan menghalang kemajuan orang-orang bukan Melayu dan peranan mereka di dalam Negara. Walau tidak menimbulkan reaksi yang luas di kalangan orang-orang Melayu, ia adalah satu perkara yang serius kerana mempersoalkan Perlembagaan dan pemimpin pemerintahan negara selama ini.

KESIMPULAN / MASA DEPAN

Selagi terdapat hak-hak istimewa bagi satu-satu kaum di dalam negara, selagi itu ia ditentang oleh kumpulan-kumpulan lain sebagai bercanggah dengan semangat demokrasi. Namun dalam konteks politik Malaysia dengan keistimewaan sendiri, ‘diskriminasi positif’ seperti mana yang diadakan unruk orang-orang Melayu dan bumiputera lain adalah perlu jika keseimbangan hendak dicapai dalam semua lapangan.

‘Diskriminasi’ seperti ini wujud di Malaysia saja tetapi di beberapa negara lain juga seperti India dan Cyprus bagi melindungi kaum-kaum minority agar tidak terpinggir dalam pembangunan. Di Amerika Syarikat wujud ‘tindakan-tindakan afirmatif’ bagi membantu orang-orang kulit hitam dengan pemberian kuota dalam bidang-bidang tertentu walaupun ianya ditentang oleh kumpulan majority kulit putih.

Dapat dilihat bahawa bantuan-bantuan khusus yang dikatakan ‘diskriminasi’ bagi satu-satu kaum atau kumpulan yang tertinggal adalah satu bentuk keadilan kepada mereka. Apa lagi dalam keadaan di Malaysia di mana orang-orang Melayu merupakan penduduk asal dan bangsa definit yang rata-rata mundur disebabkan pelbagai faktor yang menghalang. Jika tidak wujud perlindungan dan bantuan khusus kepada mereka, akan menerima nasib yang sama dengan sesetengah bangsa yang hamper pupus hari ini.

Dalam pelaksanaan hak-hak istimewa Melayu tidak menghalang kemajuan orang-orang bukan Melayu yang pesat di bawah demokrasi dan dasar perdagangan bebas. Malah dengan peluang-peluang yang wujud untuk semua, orang-orang bukan Melayulah yang boleh dikatakan telah berjaya menikmati sebahagian besar kekayaan negara. Dalam bidang pendidikan, orang-orang bukan Melayu juga paling ke depan walaupun terdapat kuota bagi kmasukan pelajar-pelajar ke universiti awam ( tidak bagi IPTS yang ditubuhkan dengan banyak ).

Dengan gambaran ini, penghapusan hak-hak istimewa Melayu di waktu ini akan mengakibatkan kemerosotan orang-orang Melayu ( berbanding orang-orang bukan Melayu ) dalam semua bidang. Sebahagian besar tanah orang-orang Melayu akan terjual di bawah sistem pasaran bebas, dominant Melayu dalam kerajaan akan tamat dengan ketiadaan kuota dan peratusan kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke pusat-pusat pengajian tinggi akan semakin kecil berdasarkan merit. Senario ini tentu tidak menggalakkan bukan saja kepada orang-orang Melayu tetapi dari segi perpaduan kaum.

Dalam pergerakan kea rah sebuah negara yang maju dan penubuhan bangsa Malaysia, terdapat pihak-pihak termasuk sesetengah orang Melayu sendiri mentafsirkannya sebagai keperluan bertindak menghapuskan keistimewaan orang-orang Melayu. Keistimewaan ini dianggap sebagai batu penghalang kepada kemajuan negara apa lagi dengan pandanan bahawa globalisasi menuntut semua usaha mesti berdasarkan merit demi merit demi mewujudkan kecekapan dan daya saing yang tinggi.

Sebenarnya walaupun negara sudah merdeka hamper 50 tahun, orang-orang Melayu dan bumiputera lain masih memerlukan hak-hak istimewa untuk bersaing dan meningkat maju bersama kaum-kaum yang lain. Tidak harus ada batas waktu tertentu bagi menamatkan hak-hak mereka yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Ini kerana tidak ada jaminan yangmereka itu dapat mencapai kemajuan standing dengan kaum-kaum lain dalam satu tempoh tertentu. Perlucutan hak-hak maka adalaha suatu yang munasabah dan realistik setelah mereka cukup maju dalam bidang ekonomi dan pendidikan berasaskan kebolehan mereka sendiri.

Bagi membolehkan keadaan ini, orang-orang bukan Melayu harus menerima keadaan ini, orang-orang bukan Melayu harus menerima peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan berkaitan dengan hak-hak istimewa Melayu dan memberi kerjasama dalamperlaksanaan dasar-dasar yang dapat memajukan orang-orang Melayu dan bumiputera lain. Dengan daya persaingan yang standing dan penyertaan seimbang di antara kaum-kaum dapat memesatkan lagi pembangunan negara dalam konteks global. Lebih pening ia adalah resipi bagi perpaduan negara dan menelakkan sebarang bencana yang tidak diingini.

No comments: