Pages

Sunday, March 16, 2008

Tindakan DAP Boleh Mengakibatkan Suasana Tidak Selesa Antara Kaum

Tindakan DAP Boleh Mengakibatkan Suasana Tidak Selesa Antara Kaum

Oleh Zailan Mohamad

KUALA LUMPUR - Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk menghapuskan Dasar Pembangunan Baru atau lebih dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang adalah satu tindakan yang akan mencetuskan ketegangan di antara kaum dan menyebabkan ketidakstabilan negara.

“Sebarang usaha untuk menolak DEB akan membawa kepada akibat negatif bukan sahaja kepada masyarakat Melayu tetapi negara Malaysia secara keseluruhannya,” ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut beliau, Ini adalah kerana DEB telah memainkan peranan amat penting dalam menentukan agihan ekuiti dan penyertaan ekonomi yang lebih seimbang sekaligus dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum di kalangan rakyat majmuk selama ini.

DEB juga ternyata telah berjaya membasmikan kemiskinan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini, Dap telah berjaya menguasai Pulau Pinang dengan mendapat 19 kerusi; Parti Keadilan Rakyat (PKR), 9 kerusi dan Parti Islam Semalaysia (Pas), 1 kerusi manakala Barisan Nasional hanya 11 kerusi.

”Dengan membelakangkan DEB, tindakan pembangkang yang tidak bertanggungjawab ternyata akan lebih memburukkan lagi ketidaksamarataan agihan ekonomi di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” tambahnya lagi.

Tambah beliau lagi, kita tidak boleh membiarkan sebahagian besar daripada ekonomi negara dikuasai oleh kaum minoriti dengan terus meminggirkan kaum majoriti di negara ini tanpa pembelaan.

Selama ini DEB telah memainkan peranan dalam memastikan agihan yang sama rata dengan mengekalkan persefahaman di antara semua kaum selain membantu membasmikan kemiskinan rakyat.

”Kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku di beberapa negara semasa krisis kewangan pada 1998 yang lalu di mana kaum majoriti telah memberontak sehingga berlakunya pertumpahan darah pada masa itu,” kata beliau.

Hal ini berlaku disebabkan oleh ketiadaan satu polisi khusus seperti DEB untuk membantu golongan miskin yang terdiri daripada kaum pribumi di negara tersebut.

”Di manakah keikhlasan pihak pembangkang dalam hal ini?

”Adakah mereka sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu atau mahu menunjuk-nunjuk kekuasaan mereka tanpa memikirkan akibat dan kesan terhadap kesejahteraan negara.” Kata beliau lagi.

Dalam mengulas perkembangan di Perak, beliau menyatakan bahawa DAP secara terang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati kedudukan serta kesultanan Melayu serta ternyata telah bertindak di luar batasan.

”Niat mereka memulaukan istiadat pelantikan Menteri Besar Perak juga menunjukkan mereka hanya gilakan kuasa sehingga sanggup membelakangkan kesetiaan kepada Raja dan Negara,” kata beliau.

Ini jelas membuktikan DAP tidak mampu memperjuangkan bukan sahaja nasib kaum Melayu dan Bumiputera tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.

Malah DAP ternyata sanggup memecahbelahkan rakyat dengan hanya mahu memegang kuasa dan tampuk kepimpinan.

Kekecohan pelantikan pemimpin-pemimpin pembangkang di Perak dan Selangor di kalangan DAP, PKR dan PAS membuktikan Barisan Alternatif tidak mempunyai sebarang perancangan khusus untuk mentadbir negeri-negeri tersebut apatah lagi untuk memikirkan kepentingan rakyat.

No comments: