Pages

Tuesday, April 29, 2008

Sidang Kongres Permuafakatan Melayu jadi tumpuan


JOHOR BAHRU 29 April - Kesemua 300 ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Kongres Permuafakatan Melayu di sini pada 2 dan 3 Mei ini, berpeluang mengemukakan pandangan mereka pada Sidang Meja Bulat yang diadakan pada hari kedua kongres itu.

Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, mereka diberi peluang berbicara mengenai pelbagai topik berkaitan Melayu selama 10 minit.

Menurutnya, sidang yang bermula pukul 8.30 malam itu dipengerusikan oleh Profesor Datuk Zainal Kling dan Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan daripada Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

"Jika bilangan mereka ramai maka sidang meja bulat itu akan dipecahkan kepada dua kumpulan untuk memberi peluang kesemua mereka menyampaikan pandangan masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kongres Permuafakatan Melayu yang akan disertai oleh 1,000 wakil daripada NGO itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Antaranya, ia disertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar akan merasmikan konvensyen yang membabitkan pembentangan 15 kertas kerja membabitkan kedaulatan dan politik Melayu.

Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres tersebut.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, resolusi itu akan diserahkan kepada Istana Johor secepat mungkin sebaik sahaja kongres itu selesai.

Beliau berkata, tujuannya agar semua pemimpin Melayu faham mengenai hak-hak Melayu agar mereka tidak diabaikan.

No comments: