Pages

Thursday, April 17, 2008

Segerakan muafakat parti politik Melayu

Segerakan muafakat parti politik Melayu
KUALA LUMPUR 16 April - Langkah permuafakatan parti-parti politik Melayu perlu dilakukan dengan segera dan tidak ditangguhkan terlalu lama kerana sebarang penangguhan akan hanya merugikan orang Melayu.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman berkata, permuafakatan itu perlu dilakukan segera lebih-lebih lagi dalam pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 ketika ini.
"Satu kaedah perlu dicari bagi membolehkan semua pihak merumuskan formula kerjasama yang terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, muafakat antara parti-parti politik itu adalah perkara yang terpenting sekali untuk kelangsungan seluruh umat Melayu ketika ini.
"Parti-parti Melayu perlu bersifat melengkapi antara satu sama lain walaupun mereka berbeza ideologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang mahu menggerakkan usaha bagi mewujudkan permuafakatan antara UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob pula berkata, sekarang bukan masanya untuk kaum Melayu berpecah-belah atas nama politik.
"Kelangsungan Melayu sendiri kini dalam keadaan yang sukar untuk diramal, sikap berpecah-belah hanya akan merumitkan lagi keadaan," katanya.
Tambah beliau, usaha bersepadu dan tulus daripada lubuk hati perlu dimulakan oleh semua pihak agar muafakat untuk mempertahankan hak orang Melayu dapat dilakukan.
Tanpa tindakan seumpama itu katanya, semua yang diperkatakan akan hanya tinggal satu bentuk retorik sahaja.
Beliau juga mencadangkan agar sebarang usaha muafakat untuk mempertahankan hak orang Melayu tidak menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini.

No comments: