Pages

Thursday, May 29, 2008

MMMM bantah kenaikan biasiswa bukan bumiputera 45 peratus


JOHOR BAHRU 29 Mei - Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.

Setiausaha Satu MMMM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ini kerana kenaikan tersebut merupakan jumlah yang besar dan dianggap boleh menjejaskan hak dan faedah yang dinikmati oleh pelajar Melayu.

"MMMM berpendapat biasiswa perlu diberi kepada semua pelajar Melayu yang layak dan hak orang Melayu berkaitan itu tidak boleh diberikan kepada kaum lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz berkata, biasiswa JPA untuk program ijazah di luar negara kepada bukan bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus mulai tahun ini berbanding 10 peratus tahun lalu.

Mohammed Nazri berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.

Zainal Abidin berkata, kenaikan biasiswa untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus tidak wajar kerana ia hampir menyamai kadar 50 peratus yang dinikmati bumiputera.

Katanya, tindakan itu menggambarkan kerajaan seolah-olah memberi layanan sama rata kepada kaum lain dalam pemberian biasiswa dan dikhuatiri tidak mustahil pada masa depan kadar itu menjadi sama.

Tegasnya, kenaikan itu juga bertentangan dengan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu.

"Sepatutnya pemberian perlu menggunakan sistem kuota bumiputera 65 peratus berdasarkan jumlah penduduk Melayu dan 35 peratus untuk bukan bumiputera," jelasnya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai langkah menaikkan biasiswa itu.

Setiausaha Agungnya, Khairul Anwar Mohd. Munir berkata, langkah itu amat memeranjatkan kerana dalam Perlembagaan Perkara 152(2) dan 153(3) menyatakan dengan jelas pecahan biasiswa sebanyak 90 peratus kepada bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran langkah tersebut memandangkan peratusan penduduk bumiputera di negara ini adalah lebih tinggi.

''Kedua, taraf kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga adalah lebih tinggi berbanding bukan bumiputera.

''Dan dalam konteks pembabitan bumiputera di dalam sektor profesional, bumiputera masih jauh ketinggalan khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anwar menambah, langkah seperti itu sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini.

Menurutnya, dalam jangka masa panjang, keputusan itu hanya akan merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan.

Bagaimanapun, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik langkah JPA menaikkan biasiswa kepada bukan bumiputera.

Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa terdapat golongan bukan bumiputera yang tidak berkemampuan.

''Bagaimanapun, JPA perlu memastikan hanya bukan bumiputera yang layak sahaja menerima biasiswa tersebut.

''Langkah ini juga membuktikan yang kerajaan tidak hanya membantu satu golongan sahaja tetapi semua kaum,'' katanya.

No comments: