Pages

Sunday, May 4, 2008

Jadikan budaya Melayu sebagai teras


JOHOR BAHRU 4 Mei - Kerajaan diminta menjadikan budaya Melayu sebagai teras dalam setiap aktiviti kebudayaan yang diadakan di luar negara.

Pengerusi Majlis Perunding Seni Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahketa), Datuk A. Rahman Hassan berkata, ini kerana budaya Melayu merupakan citra Malaysia dan ia mesti ditonjolkan.

Justeru, beliau meminta supaya kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha untuk memperlekehkan kebudayaan Melayu.

Menurutnya, tindakan itu pula tidak bermakna kerajaan akan menyekat kebudayaan lain daripada terus diamalkan di negara ini.

"Kebudayaan lain tetap bebas dan dihormati, cuma kita mahukan budaya Melayu dijadikan teras kerana ia merupakan citra Malaysia," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada hari terakhir Kongres Permuafakatan Melayu anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

A. Rahman yakin kebudayaan dan kesenian Melayu akan terus diperkukuhkan hasil daripada kongres yang dihadiri 2,100 wakil daripada 200 NGO Melayu yang bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yakin piagam yang dijadikan teras perjuangan Melayu oleh kongres tersebut akan dapat mengukuhkan lagi agama Islam, institusi raja dan hak istimewa Melayu.

"Bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu dalam mempertahankan hak ketuanan Melayu," katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang cuba mencabar dan menentang piagam itu boleh dianggap menderhaka dan perlu dikenakan tindakan undang-undang, katanya.

Pengerusi Pertubuhan Nasionalis Melayu Muda Malaysia, Raihan Sulaiman Palestin pula berharap kongres tersebut dapat mengukuhkan lagi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

"Ini juga akan menyedarkan golongan muda tentang perlunya mereka berpegang teguh kepada agama dan terus memperjuangkannya," katanya.

Menurutnya, kongres itu menyedarkan masyarakat Melayu untuk kembali bersatu demi masa depan agama, raja, bangsa dan negara.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Mohd. Ali Hanafiah pula bersyukur kerana kongres itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

"PPJ sendiri berhasrat mengadakan pasca kongres membabitkan penyertaan akar umbi bagi memberikan penerangan berhubung resolusi yang dihasilkan," katanya.

Menurutnya, kongres tersebut juga membuktikan kesedaran bahawa masyarakat Melayu perlu bersatu semula demi masa depan mereka.

No comments: