Pages

Thursday, May 29, 2008

MMMM bantah kenaikan biasiswa bukan bumiputera 45 peratus


JOHOR BAHRU 29 Mei - Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan kadar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.

Setiausaha Satu MMMM, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ini kerana kenaikan tersebut merupakan jumlah yang besar dan dianggap boleh menjejaskan hak dan faedah yang dinikmati oleh pelajar Melayu.

"MMMM berpendapat biasiswa perlu diberi kepada semua pelajar Melayu yang layak dan hak orang Melayu berkaitan itu tidak boleh diberikan kepada kaum lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz berkata, biasiswa JPA untuk program ijazah di luar negara kepada bukan bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus mulai tahun ini berbanding 10 peratus tahun lalu.

Mohammed Nazri berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.

Zainal Abidin berkata, kenaikan biasiswa untuk bukan bumiputera kepada 45 peratus tidak wajar kerana ia hampir menyamai kadar 50 peratus yang dinikmati bumiputera.

Katanya, tindakan itu menggambarkan kerajaan seolah-olah memberi layanan sama rata kepada kaum lain dalam pemberian biasiswa dan dikhuatiri tidak mustahil pada masa depan kadar itu menjadi sama.

Tegasnya, kenaikan itu juga bertentangan dengan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu.

"Sepatutnya pemberian perlu menggunakan sistem kuota bumiputera 65 peratus berdasarkan jumlah penduduk Melayu dan 35 peratus untuk bukan bumiputera," jelasnya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai langkah menaikkan biasiswa itu.

Setiausaha Agungnya, Khairul Anwar Mohd. Munir berkata, langkah itu amat memeranjatkan kerana dalam Perlembagaan Perkara 152(2) dan 153(3) menyatakan dengan jelas pecahan biasiswa sebanyak 90 peratus kepada bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran langkah tersebut memandangkan peratusan penduduk bumiputera di negara ini adalah lebih tinggi.

''Kedua, taraf kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga adalah lebih tinggi berbanding bukan bumiputera.

''Dan dalam konteks pembabitan bumiputera di dalam sektor profesional, bumiputera masih jauh ketinggalan khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anwar menambah, langkah seperti itu sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini.

Menurutnya, dalam jangka masa panjang, keputusan itu hanya akan merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan.

Bagaimanapun, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik langkah JPA menaikkan biasiswa kepada bukan bumiputera.

Presidennya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa terdapat golongan bukan bumiputera yang tidak berkemampuan.

''Bagaimanapun, JPA perlu memastikan hanya bukan bumiputera yang layak sahaja menerima biasiswa tersebut.

''Langkah ini juga membuktikan yang kerajaan tidak hanya membantu satu golongan sahaja tetapi semua kaum,'' katanya.

Wednesday, May 28, 2008

Henti cabar orang Melayu


MELAKA 28 Mei - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghentikan perbuatannya mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana ia mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan orang Melayu di negara ini.

Menurut beliau, Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

''Kit Siang tidak perlu sibuk-sibuk mengeluarkan kenyataan berkaitan ketuanan Melayu kerana tanah ini hak orang Melayu, jadi, tiada siapa yang berhak boleh mempertikaikannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu.

Mohd. Ali berkata, konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu jelas tercatat dalam sejarah dan tidak perlu diungkit-ungkit terutama oleh pihak pembangkang.

Kata Ketua Menteri Melaka itu, DAP sengaja membangkitkan isu tersebut semata-mata ingin menarik perhatian rakyat dan pada masa sama tidak mempedulikan perasaan orang Melayu.

Beliau menjelaskan, ketuanan Melayu bukan menganggap kaum lain sebagai hamba dan berlagak sebagai tuan seperti yang dianggap oleh DAP.

''Pembangkang amat jelas tidak memahami konsep tersebut.

''Kit Siang tidak tahu konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu sebab itu beliau boleh buat kenyataan sedemikian," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor mengharamkan sebarang program berkaitan konsep Islam Hadhari yang dilihat lebih bersifat politik dan tidak mementingkan soal masyarakat itu sendiri.

Katanya, penganjuran Islam Hadhari telah diiktiraf oleh para mufti dan ulama tempatan malah disokong oleh negara-negara jiran terutama di kalangan negara Dunia Melayu Dunia Islam.

''Memang jelas pembangkang yang memimpin kerajaan Selangor sekarang tidak tahu langsung konsep Islam Hadhari, mereka hanya ingin mainkan isu ini kerana untuk menarik perhatian rakyat untuk menyokong mereka," katanya.

Jangan ungkit Ketuanan Melayu - Dr. Zambry


IPOH 28 Mei - Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertikaikan Ketuanan Melayu hanya menggambarkan sikap berani melulunya mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan bekas Setiausaha Politik Lee Kuan Yew itu bukanlah menghairankan kerana ia merupakan ideologi yang telah lama diperjuangkan oleh DAP sebelum ini.

''Saya tidak hairan dengan tindakan Lim Kit Siang dan DAP yang menolak ketuanan Melayu.

''Ia semakin jelas dan sikap berani melulu Penasihat DAP yang mahu melihat konsep Malaysian Malaysia dilaksanakan di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang di Parlimen baru-baru ini yang mendakwa rakyat hari ini telah bosan dengan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu.

Dr. Zambry berkata, Kit Siang tidak sepatutnya mempertikaikan ketuanan Melayu kerana ia sememangnya hak mutlak orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor itu berkata, apa yang menghairankan ialah terdapat orang Melayu yang seia sekata dengan Kit Siang termasuk mereka yang menjunjung pakatan pembangkang.

''Mereka begitu dangkal hanya melihat ketuanan Melayu semata-mata dalam konteks Perlembagaan negara sedangkan apa yang diperjuangkan oleh DAP ialah perjuangan ideologi.

''Saya harap orang Melayu yang terpengaruh dengan Kit Siang kembali sedar dengan permainan beliau itu," katanya.

Katanya, perkara ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia telah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Apa yang dikatakan oleh Kit Siang itu adalah tidak wajar kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan.

''Apa yang diperjuangkannya kini adalah ideologi berterusannya dan akhirnya nanti kedudukan hak-hak istimewa orang-orang Melayu akhirnya turut dipersoalkan.

''Ini apa yang kita lihat sekarang seperti bidang kuasa raja-raja dalam pentadbiran Islam dan saya tidak bimbang mereka juga mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.

Dr. Zambry berkata, kesemua ini menampakkan kecenderungan berterusan mereka untuk menidakkan kedudukan orang Melayu di negara ini yang tidak perlu diungkitkan lagi.

''Ini merupakan satu peringatan kepada orang Melayu bahawa satu demi satu kedudukan orang Melayu di negara ini mula dipertikaikan," katanya.