Pages

Tuesday, May 27, 2008

MMMM pantau isu kedaulatan Melayu


JOHOR BAHRU 27 Mei - Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) yang ditubuhkan oleh Kongres Permuafakatan Melayu baru-baru ini akan memulakan mesyuarat tindakan susulan di Pahang pada bulan depan.

Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, mesyuarat itu antara lain akan memantau isu-isu kedaulatan Melayu dengan mengambil kira reaksi semasa daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, Gapena juga akan melihat secara teliti agenda-agenda yang boleh diambil di peringkat negeri berdasarkan resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada di sini, awal bulan ini.

"Pada dasarnya selepas ini kita akan bergerak ke hadapan hasil daripada kongres yang dihadiri 2,100 peserta mewakili 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai kongres tersebut.

"Kita juga akan lihat soal hak-hak Melayu seperti pemberian biasiswa yang termaktub dalam Perlembagaan, yang tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas hasil mesyuarat Jawatankuasa Penaja MMMM pada Khamis lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein.

Selain itu kata Zainal Abidin, pihaknya turut membincangkan mengenai isu-isu berkaitan belia Melayu, khususnya pemahaman dan pegangan mereka terhadap kedaulatan Melayu.

Sebagai contoh katanya, mengenai disiplin budaya Melayu dalam pembentukan jati diri dan penghayatan ajaran Islam serta nilai-nilai murni yang berkaitan.

"Sehubungan ini susulan yang sama akan dilakukan di Pulau Pinang menerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan di Sabah menerusi Persatuan Rumpun Melayu Lahad Datu," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Penaja MMMM itu, Zainal Abidin menjelaskan, pihaknya kini dalam proses untuk mendaftarkannya dengan Pendaftar Pertubuhan dan Syarikat yang dijangka mengambil masa sekitar dua hingga lima bulan lagi.

Katanya, apabila didaftarkan ia akan menjadi satu badan tetap untuk melaksanakan semua resolusi yang diputuskan oleh Kongres Permuafakatan Melayu.

"Kewujudan MMMM secara rasmi adalah bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu, seperti yang dipersetujui sebulat suara pada kongres tersebut.

"Pada prinsipnya kita jadikan MMMM sebagai tempat rujukan dan wadah rasmi bagi menggerakkan apa juga resolusi yang telah kita persetujui dalam kongres," katanya.

Sehubungan itu, Zainal Abidin berkata, sekretariat di bawah jawatankuasa itu sedang berusaha untuk menyediakan perlembagaan yang lengkap untuk menggerakkan MMMM.

DAP dicabar buktikan ketuanan Melayu langgar Perlembagaan


KUALA LUMPUR 27 Mei - Pihak tertentu yang masih mempertikaikan hak istimewa dan ketuanan Melayu adalah golongan yang buta sejarah dan sengaja mewujudkan sentimen bagi kepentingan politik masing-masing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar (gambar) berkata, ia tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana kedua-dua perkara itu telah dipersetujui oleh semua kaum sejak zaman sebelum merdeka.

''Jadi, hak istimewa dan ketuanan orang Melayu seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan agama Islam sebagai agama rasmi tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

''Kalau ada yang mempersoalkannya (ketuanan Melayu) terutama DAP, saya cabar mereka untuk buktikan bahawa konsep itu menyalahi Perlembagaan (Persekutuan) negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2007 Majlis Amanah Rakyat (Mara) Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Dr. Tan Seng Giaw yang mengatakan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu kini tidak lagi relevan serta harus digantikan dengan konsep ketuanan Malaysia.

Pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam, kedua-dua pemimpin DAP itu mendakwa rakyat negara ini sudah bosan dengan konsep ketuanan Melayu dan perkara itu diterjemahkan apabila pihak pembangkang menang di lima negeri pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang dan Pengerusi Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara menambah, orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini telah banyak berkorban terhadap hak mereka.

Menurutnya, hak-hak warganegara Malaysia yang lain seperti kebebasan memilih kerajaan dan kebebasan beragama tidak pernah disekat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau menasihatkan DAP agar tidak memainkan isu sensitif sebegitu yang hanya akan mengelirukan rakyat.

Sunday, May 4, 2008

Jadikan budaya Melayu sebagai teras


JOHOR BAHRU 4 Mei - Kerajaan diminta menjadikan budaya Melayu sebagai teras dalam setiap aktiviti kebudayaan yang diadakan di luar negara.

Pengerusi Majlis Perunding Seni Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahketa), Datuk A. Rahman Hassan berkata, ini kerana budaya Melayu merupakan citra Malaysia dan ia mesti ditonjolkan.

Justeru, beliau meminta supaya kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha untuk memperlekehkan kebudayaan Melayu.

Menurutnya, tindakan itu pula tidak bermakna kerajaan akan menyekat kebudayaan lain daripada terus diamalkan di negara ini.

"Kebudayaan lain tetap bebas dan dihormati, cuma kita mahukan budaya Melayu dijadikan teras kerana ia merupakan citra Malaysia," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada hari terakhir Kongres Permuafakatan Melayu anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

A. Rahman yakin kebudayaan dan kesenian Melayu akan terus diperkukuhkan hasil daripada kongres yang dihadiri 2,100 wakil daripada 200 NGO Melayu yang bermula Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yakin piagam yang dijadikan teras perjuangan Melayu oleh kongres tersebut akan dapat mengukuhkan lagi agama Islam, institusi raja dan hak istimewa Melayu.

"Bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu dalam mempertahankan hak ketuanan Melayu," katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang cuba mencabar dan menentang piagam itu boleh dianggap menderhaka dan perlu dikenakan tindakan undang-undang, katanya.

Pengerusi Pertubuhan Nasionalis Melayu Muda Malaysia, Raihan Sulaiman Palestin pula berharap kongres tersebut dapat mengukuhkan lagi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

"Ini juga akan menyedarkan golongan muda tentang perlunya mereka berpegang teguh kepada agama dan terus memperjuangkannya," katanya.

Menurutnya, kongres itu menyedarkan masyarakat Melayu untuk kembali bersatu demi masa depan agama, raja, bangsa dan negara.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Mohd. Ali Hanafiah pula bersyukur kerana kongres itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

"PPJ sendiri berhasrat mengadakan pasca kongres membabitkan penyertaan akar umbi bagi memberikan penerangan berhubung resolusi yang dihasilkan," katanya.

Menurutnya, kongres tersebut juga membuktikan kesedaran bahawa masyarakat Melayu perlu bersatu semula demi masa depan mereka.