Pages

Monday, April 14, 2008

Kepentingan Melayu: Pas, PKR sedia muafakat dengan UMNO

Kepentingan Melayu: Pas, PKR sedia muafakat dengan UMNO

KUALA LUMPUR 14 April – Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak dan membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Mereka juga meminta agar permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, cadangan tersebut bukan satu perkara baru kerana Pas sudah lama meminta UMNO untuk bermuafakat.

“Pas sudah lama menulis surat kepada UMNO untuk bermuafakat demi Melayu dan Islam, tetapi permintaan itu tidak pernah dilayan sebelum ini.

“Apabila UMNO sendiri mencadangkan untuk bermuafakat, saya bersetuju kerana ingin menjaga kepentingan bersama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria menggesa pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Katanya, permuafakatan perlu agar isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, permuafakatan membawa maksud yang amat baik, tetapi ia perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain.

Katanya, pemimpin UMNO terlebih dahulu perlu jelas terhadap prinsip-prinsip kesaksamaan itu supaya mereka sendiri tidak mewujudkan jurang antara Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan bukan Melayu.

“Kita tidak mahu permuafakatan ini menjadi kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu seperti dalam DEB, sebaliknya ia perlu menjaga kepentingan semua pihak.

“Jika Melayu mahu terus dihormati dan terus memimpin kaum-kaum lain, maka mereka perlu bersikap adil sesama sendiri dan juga kepada kaum-kaum lain,” katanya.






http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Sunday, April 13, 2008

Ilmu, ekonomi kekalkan ketuanan Melayu – Idris


KUALA LUMPUR 13 April – Ketuanan Melayu tidak akan hilang atau dicabar sekiranya orang Melayu mempunyai ilmu dan menguasai ekonomi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, untuk mempertahankan ketuanan itu, orang Melayu perlu bekerja kuat untuk menguasai kedua-dua perkara tersebut.

“Mengekalkan ketuanan Melayu menuntut Melayu untuk bekerja kuat dalam menguasai ilmu, teknologi dan ekonomi. Inilah modal yang perlu ada dalam diri Melayu, kerana jika kita sanggup bekerja kuat dan bersaing tidak akan timbul masalah ketuanan orang Melayu dicabar atau hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) UMNO Bahagian Seputeh di sini hari ini.

Idris mengulas titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar.

Baginda bertitah, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap satu hari nanti.

Bersaing

Idris memberitahu, orang Melayu juga perlu memberi penekanan kepada usaha untuk bersaing dalam apa jua perkara yang mereka laksanakan.

Tambah beliau, sikap persaingan ini bukan sahaja untuk bersaing dengan kaum lain di negara ini tetapi dengan bangsa lain di dunia.

“Sekiranya orang Melayu ada semangat bersaing ini tidak ada sebab ketuanan Melayu akan hilang di Malaysia.

“Semangat bersaing ini seharusnya berteraskan kepada ilmu dan kecemerlangan pendidikan yang akan dapat memastikan orang Melayu cemerlang mereka dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Katanya, jika semangat bersaing di tambah dengan kecemerlangan yang ada dalam bidang diceburi, orang Melayu tidak akan memerlukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memastikan ketuanan Melayu kekal.

Sehubungan itu tegas Idris, usaha perlu ditingkatkan untuk memberi pendidikan yang berkualiti tinggi kepada orang Melayu baik yang berada di kampung atau di bandar.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak mengingatkan orang Melayu kembali bersatu untuk memulihkan imej ketuanan kaum itu di negara ini.

Tegas beliau, imej ketuanan Melayu banyak bergantung kepada semangat permuafakatan dan bersatu menghadapi cabaran serta tidak memberi ruang kepada pihak tertentu menggugat kepentingan mereka.

“Hak orang Melayu sinonim dengan perjuangan UMNO yang sentiasa menjaga kepentingan kaum itu sebagaimana dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Melalui kekuatan itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi landasan kepada pemimpin melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Benarkan Kumpulan A aktif politik tingkat kuasa Melayu


JOHOR BAHRU 13 April – Kerajaan dicadangkan memberi peluang kepada kakitangan kerajaan dalam Kumpulan A bergiat aktif dalam politik bagi memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu yang dikatakan semakin tercabar ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Abdul Halim Suleiman berkata, kelonggaran itu merupakan salah satu langkah untuk memberi nafas baru kepada sesebuah parti politik yang bertunjangkan Melayu dan sekali gus memantapkan lagi parti terbabit.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu berkata, ia penting kerana ramai orang Melayu berada dalam sektor awam.

“Sekarang, golongan ini perlu melepaskan sebarang jawatan yang disandang sebelum bergiat aktif dalam parti politik.

“Peraturan sebegini sedikit sebanyak menjadi penghalang kepada penglibatan mereka untuk memperkukuhkan kuasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa dan Taklimat Keselamatan anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Serbaguna Taman Pelangi Indah, di sini hari ini.

Semalam, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar.

Baginda bertitah, beberapa perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap suatu hari nanti.

Abdul Halim berkata, peraturan yang menyekat pegawai Kumpulan A itu perlu dikaji semula supaya kebebasan kuasa orang Melayu diperkasakan dengan penyertaan secara langsung mereka.

“Sayang sekiranya kepakaran dan pengalaman yang mereka ada dipersiakan atau diabaikan sedangkan mereka merupakan individu yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bukan calang-calang,” katanya.