Pages

Sunday, April 13, 2008

Ilmu, ekonomi kekalkan ketuanan Melayu – Idris


KUALA LUMPUR 13 April – Ketuanan Melayu tidak akan hilang atau dicabar sekiranya orang Melayu mempunyai ilmu dan menguasai ekonomi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, untuk mempertahankan ketuanan itu, orang Melayu perlu bekerja kuat untuk menguasai kedua-dua perkara tersebut.

“Mengekalkan ketuanan Melayu menuntut Melayu untuk bekerja kuat dalam menguasai ilmu, teknologi dan ekonomi. Inilah modal yang perlu ada dalam diri Melayu, kerana jika kita sanggup bekerja kuat dan bersaing tidak akan timbul masalah ketuanan orang Melayu dicabar atau hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) UMNO Bahagian Seputeh di sini hari ini.

Idris mengulas titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bahawa usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar.

Baginda bertitah, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap satu hari nanti.

Bersaing

Idris memberitahu, orang Melayu juga perlu memberi penekanan kepada usaha untuk bersaing dalam apa jua perkara yang mereka laksanakan.

Tambah beliau, sikap persaingan ini bukan sahaja untuk bersaing dengan kaum lain di negara ini tetapi dengan bangsa lain di dunia.

“Sekiranya orang Melayu ada semangat bersaing ini tidak ada sebab ketuanan Melayu akan hilang di Malaysia.

“Semangat bersaing ini seharusnya berteraskan kepada ilmu dan kecemerlangan pendidikan yang akan dapat memastikan orang Melayu cemerlang mereka dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Katanya, jika semangat bersaing di tambah dengan kecemerlangan yang ada dalam bidang diceburi, orang Melayu tidak akan memerlukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memastikan ketuanan Melayu kekal.

Sehubungan itu tegas Idris, usaha perlu ditingkatkan untuk memberi pendidikan yang berkualiti tinggi kepada orang Melayu baik yang berada di kampung atau di bandar.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak mengingatkan orang Melayu kembali bersatu untuk memulihkan imej ketuanan kaum itu di negara ini.

Tegas beliau, imej ketuanan Melayu banyak bergantung kepada semangat permuafakatan dan bersatu menghadapi cabaran serta tidak memberi ruang kepada pihak tertentu menggugat kepentingan mereka.

“Hak orang Melayu sinonim dengan perjuangan UMNO yang sentiasa menjaga kepentingan kaum itu sebagaimana dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Melalui kekuatan itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi landasan kepada pemimpin melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Benarkan Kumpulan A aktif politik tingkat kuasa Melayu


JOHOR BAHRU 13 April – Kerajaan dicadangkan memberi peluang kepada kakitangan kerajaan dalam Kumpulan A bergiat aktif dalam politik bagi memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu yang dikatakan semakin tercabar ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Abdul Halim Suleiman berkata, kelonggaran itu merupakan salah satu langkah untuk memberi nafas baru kepada sesebuah parti politik yang bertunjangkan Melayu dan sekali gus memantapkan lagi parti terbabit.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu berkata, ia penting kerana ramai orang Melayu berada dalam sektor awam.

“Sekarang, golongan ini perlu melepaskan sebarang jawatan yang disandang sebelum bergiat aktif dalam parti politik.

“Peraturan sebegini sedikit sebanyak menjadi penghalang kepada penglibatan mereka untuk memperkukuhkan kuasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa dan Taklimat Keselamatan anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Serbaguna Taman Pelangi Indah, di sini hari ini.

Semalam, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra bertitah, usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi pada masa ini berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar.

Baginda bertitah, beberapa perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu jelas memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu tercabar, mungkin terhakis atau lenyap suatu hari nanti.

Abdul Halim berkata, peraturan yang menyekat pegawai Kumpulan A itu perlu dikaji semula supaya kebebasan kuasa orang Melayu diperkasakan dengan penyertaan secara langsung mereka.

“Sayang sekiranya kepakaran dan pengalaman yang mereka ada dipersiakan atau diabaikan sedangkan mereka merupakan individu yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bukan calang-calang,” katanya.

UMNO, PKR, Pas perlu muafakat pertahan hak Melayu

UMNO, PKR, Pas perlu muafakat pertahan hak Melayu

KUALA LUMPUR 13 April – Pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, permuafakatan pemimpin-pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti itu perlu diadakan supaya isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.

Menurut beliau, tiga perkara penting berkaitan orang Melayu dan yang akan menentukan masa depan mereka di negara ini ialah membabitkan agama Islam, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pendidikan.

“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti politik itu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama supaya tiga perkara membabitkan bangsa Melayu itu tidak boleh disentuh dan diganggu oleh orang lain.

“Sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu tiga perkara tersebut, pemimpin-pemimpin ini akan mempertahankan hak orang Melayu dengan pendekatan yang sama,” kata Norza selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kelima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, dekat sini hari ini.

Norza yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu mahu orang Melayu mempertahankan ketiga-tiga perkara itu sebagai hak bangsa Melayu dengan mengetepikan perbezaan parti politik.

“Sebagai contoh, orang Cina mengetepikan soal perbezaan parti politik dalam menangani dan memperjuangkan isu sekolah Cina dan sepatutnya orang Melayu juga bersikap dan bertindak demikian,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini, Norza berkata, beliau tidak akan bertanding merebut jawatan itu tetapi hanya akan mempertahankan kerusi MT.

Menurut beliau, masa ini lebih tepat untuk merawat hati-hati yang sudah luka dan mereka ingin melihat UMNO membuat perubahan dan menjadi sebuah parti yang tetap disanjung dari dahulu sehingga sekarang.

Dalam pada itu Norza mengingatkan supaya UMNO yang telah ‘tenat’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu perlu menjalani proses pemulihan seperti orang sakit yang dimasukkan ke hospital.

Dalam perkara ini katanya, UMNO tidak boleh berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, kerana sekiranya itu terjadi, maka perubahan atau pemulihan akan berjalan dengan lebih perlahan.

“Kita sepatutnya keluar daripada permainan tuduh-menuduh sebaliknya turun ke padang untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Kita tidak mahu adegan tuduh-menuduh ini menjadi show case untuk tontonan orang lain.

“Jika berlarutan saya khuatir satu hari nanti orang akan menganggap UMNO tidak relevan lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, parti pembangkang semakin memperbaiki kedudukan mereka kerana kelemahan UMNO yang mempunyai masalah dalaman yang didedahkan kepada pengetahuan orang luar.

Pembangkang katanya, belajar daripada kelemahan dan masalah UMNO untuk mentadbir negara hari ini.

Norza berkata, “jika kita cepat tutup dan menyelesaikan semua masalah kita, maka lagi cepat kita akan bergerak walaupun yang telah kalah dalam pilihan raya lalu untuk terpaksa bekerja keras.”



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm