Pages

Monday, January 14, 2013

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

apa dia FPK atau falsafah pendidikan kebangsaan..semua orang mencari apakah maksud FPK atau falsafah pendidikan kebangsaan ni. Jom baca dan kongsi

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN, MATLAMAT, OBJEKTIF
DAN ORGANISASI KANDUNGAN

Pengenalan
Sistem pendidikan format atau moden di Tanah Melayu bermula sejak zaman penjajah Inggeris. Sekolah pertama dibina ialah Penang Free School. Walau bagaimanapun, usaha Inggeris itu sebenarnya bukan bertujuan untuk memajukan orang Melayu, melainkan untuk menghalalkan penjajahan. Selain itu, ia bertujuan untuk mengelakkan tuduhan penindasan terhadap rakyat Malaysia daripada parti-parti politik di Britain dan pertubuhan dunia. Usaha menjadikan sistem pendidikan ke arah membentuk negara bangsa bermula selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Penyata Razak (1956) telah menjadi asas pengubalan Ordinan Pelajaran 1957. Ordinan ini menyarankan satu sistem pelajaran yang memenuhi keperluan negara diwujudkan. Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia atau bahasa Inglish) telah dijadikan Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah. Laporan Penyata Razak, “... hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar ....” Laporan Penyata Rahman Talib (1960) menyarankan agar laporan Penyata Razak dipertingkatkan. Ia menjadi asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menghendaki sistem pendidikan negara diperkemaskan agar lebih berkesan.


Cadangan Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib yang menghendaki satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam untuk semua kaum dengan menggunakan bahasa sama sebagai bahasa pengantar terbukti sangat penting apabila pada 13 Mei 1969 berlaku rusuhan kaum. Kebaikan utama peristiwa berdarah itu ialah memberi kesedaran kepada kerajaan, khususnya pemimpin politik, agar mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi. Sejak itu kerajaan menggubal banyak dasar yang bertujuan merapatkan hubungan kaum dan perpaduan. Pelbagai dasar telah diperkenalkan, termasuk Rukun Negara yang bertujuan;
 Mencapai perpaduan erat rakyat pelbagai kaum;
 Memelihara satu cara hidup demokratik;
 Mencipta satu masyarakat adil dan menikmati kemakmuran secara bersama dan saksama;
 Menjamin satu masyarakat liberal terhadap kebudayaan; dan
 Membina satu masyarakat progresif yang menggunakan Sains dan Teknologi moden.

Usaha mencapai cita-cita di atas adalah berlandaskan lima prinsip, sebagaimana yang berikut;
 Kepercayaan kepada Tuhan;
 Kesetiaan kepada raja dan negara;
 Keluhuran perlembagaan;
 Kedaulatan undang-undang; dan
 Kesopanan dan kesusilaan.

Kesan positif lain peristiwa 13 Mei 1969 ialah pengisytiharan Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini bertujuan membina perpaduan dan kemajuan rakyat melalui serampang dua mata, iaitu;
 Membasmi kemiskinan dengan meninggikan taraf pendapatan dan menambahkan peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
 Mempercepatkan proses penyusunan masyarakat Malaysia untuk membaiki keadaan ekonomi yang tidak seimbang agar dapat mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Bagi menyokong usaha-usaha kerajaan di atas, pada tahun 1974, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengkaji sistem pelajaran negara. Laporan Jawatankuasa Kabinet agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan masyarakat bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Ciri-ciri masyarakat yang dikehendaki ialah;
 Mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai rakyat Malaysia;
 Menghormati dan mematuhi undang-u ndang serta perraturan, berdasarkan bekerja atau membuat sesuatu hingga sempurna, menghormati hak-hak individu, mengamalkan ti ngkah laku yang baik dan tidak menjejaskan kepentingan orang lain, menghhormati dan mempunyai semangat memperbaiki keadaan secara membina, dan bersedia berkhidmat untuk negara; dan
 Mendapat pendidikan dan latihan supaya boleh menyertai dengan berkesan dalam kegiatan pembangunan negara.
Untuk mencapai cita-cita di atas, Jawatankuasa Kabinet mengemukakan beberapa perakuan yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara. Perakuan tersebut ialah;
 Pendidikan peringkat asas memberikan penegasan dalam bidang membaca, menulis dan mengira;
 Memenuhi kehendak pendidikan ke arah perkembangan individu secara menyeluruh;
 Memenuhi pendidikan negara ke arah perkembangan bakat kanak-kanak;
 Meningkatkan pengetahuan, nilai disiplin, kemahiran yang pelbagai dan berdedikasi;
 Berfikir dan bertindak dengan baik berpandukan akhlak yang mulia; dan
 Individu yang dihasilkan dalam sistem pendidikan negara adalah selaras dengan pembanugnan kemanusiaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet menjadi asas Kementerian Pendidikan Malaysia menggubal dan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan mulai tahun 1982, dan Kurikulum Bersapadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan mulai tahun 1988. Berlandaskan hasrat dan cita-cita yang terkandung dalam Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet, Rukun Negara dan dasar-dasar kerajaan, maka Kementerian Pendidikan telah merangka satu falsafah pendidikan sebagai pegangan dan arah tuju pendidikan nasional.

Penyataan Falsafah Pendidikan, Matlamat dan Objektif Pendidikan
(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu, masyarakat mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan masyarakat. Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia yang tidak mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan misi, matlamat, peraturan dan undang-undang. Antara aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana di bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

(b) Matlamat Pendidikan

Bagi mencapai pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Untuk Bahasa Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.

(c) Objektif Pendidikan
Setiap sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi semakan) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah.
I. mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
X. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan cinta akan negara.

Pengenalan Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah

Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah mempunyai beberapa bahagian, iaitu Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum.

(a) Kemahiran Bahasa

Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memberikan maklum balas dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan. Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan pendapat, perasaan, maklumat serta idea yang bernas dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai. Lazimnya Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur dijalankan serentak dan dikenali sebagai Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Hal ini disebabkan, dalam Kemahiran Mendengar akan melibatkan pertuturan.
Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca ayat dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Manakala, Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan penulisan imaginatif.

(b) Hasil Pembelajaran

Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran bahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, hasil pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

(c) Sistem Bahasa
Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan, dan sebutan dan intonasi. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat mata-mata pelajaran di peringkat rendah.

(d) Pengisian Kurikulum

Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan aspek ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosio-budaya, dan kemahiran bernilai tambah.
Setiap bahagian (a) – (d) akan dibincangkan secara lebih khusus di bawah tajuk masing-masing.
Perkaitan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Matlamat dan Objektif

Terdapat 13 tuntutan atau hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kesemua tuntutan atau hasrat itu mempunyai perkaitan dengan Matlamat Pendidikan dan Objektif Pendidikan.

(a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan
Dalam Islam, pendidikan seseorang bermula sejak menjatuhkan benih hingga seseorang itu tamat hayat usianya. Islam menuntut benih yang halal melalui hasil perkahwinan. Ibu yang hamil (juga bapa) dituntut berkelakuan sopan, membaca al-Quran dan bercakap-cakap dengan janin dalam kandungannya. Perbuatan itu dipercayai boleh mempengaruhi pembesaran janin. Setelah dilahirkan, kanak-kanak diasuh dengan didikan agama, budi perkerti, mengenal adab budaya bangsa hingga menerima pendidikan secara formal. Walaupun sudah tamat alam persekolahan, manusia masih dituntut untuk terus belajar, meningkatkan pengetahuan, kematangan dan kepakaran. Sebenarnya, proses pendidikan terus berlangsung dalam diri seseorang. Hal ini selaras dengan Matlamat pendidikan agar manusia terus menimba ilmu, dan Objektif Pendidikan ke V, iaitu menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;

(b) Perkembangan Potensi Individu secara Menyeluruh dan Bersepadu
Dalam al-Quran Surah At-Tiin ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” Ayat ini merupakan pengakuan Allah bahawa setiap manusia telah dicipta dengan sempurna dan setiap individu mempunyai potensi untuk maju. Yang tinggal kini ialah usaha menggerakkan potensi individu dalam diri seseorang. Oleh sebab itu, Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu adalahuntuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi. Bahasa merupakan salah satu alat yang dapat menggerakkan potensi individu. Peguam menang bicara kerana kepetahan menggunakan bahasa. Demikian murid berjaya dalam peperiksaan kerana kemampuan menggunakan bahasa untuk menyampaikan maksud yang dikehendaki soalan. Menyedari potensi individu boleh dimajukan, maka sistem pendidikan di Malaysia memberi peluang secukup dan sama rata kepada semua individu untuk memajukan dirinya. Hal ini banyak ditegaskan sebagai Objektif Pendidikan misalnya, memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis; atau mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul. Sesetengah individu mempunyai bakat dan keupayaan untuk memajukan dirinya. Namun, bakat dan keupayaan itu tidak mampu digerakkan sendirian, melainkan perlu sokongan daripada individu-individu lain. Justeru, guru dan masyarakat perlu berganding bahu mencungkil, memupuk, memperkembangkan dan mempertingkatkan bakat dan keupayaan individu seseorang. Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang tidak dapat dikembangkan potensi dirinya, sebagaimana maksud pantun di bawah.
Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Mengapakah hal ini terjadi? Dalam al-Quran Surah Asy-Syura ayat 30 Allah berfirman yang bermaksud, “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan.” Ertinya, “bunga kembang tak jadi” bukan disebabkan sistem pendidikan atau guru, melainkan diri individu itu sendiri yang tersalah menjana pendidikan dirinya.

(c) Insan yang Seimbang dan Harmonis Intelek
Yang dimaksudkan seimbang dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memberi tempat yang sewajar dan adil kepada semua keperluan pendidikan manusia khususnya dari segi pertumbuhan akal, perkembangan sahsiah secara sihat dan bersepadu. Harmonis pula ialah wujudnya keserasian antara pertumbuhan dan perkembangan fizikal dengan pertumbuhan dan perkembangan rohani. Keserasian itu merupakan makanan intelek. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat dan cergas. Hal ini sangat mempengaruhi pembentukan intelek. Antara ciri-ciri individu yang seimbang dan harmonis inteleknya ialah;
 Sempurna kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira,
 Sentiasa berusaha mencari, membaiki, meningkat, mengamal dan menyebarkan ilmu,
 Sentiasa berfikir keatif dan kritis, dan mencerakinkan pemikirannya untuk menghasilkan idea-idea bernas dan menjawab permasalahan masyarakat,
 Berupaya memanfaatkan ilmu untuk kemajuan diri dan orang lain.

(d) Insan yang Seimbang dan Harmonis Rohani
Yang dimaksudkan rohani ialah merujuk pembentukan dan pembinaan watak dan kejatidirian manusia. Sebagai warga Malaysia, seharus sistem pendidikan melahirkan watak dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio budaya Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Ciri-ciri individu yang mempunyai rohani seimbang dan harmonis ialah;
 Menyedari adanya Pencipta dan mempercayai-Nya,
 Menyedari dan mengamalkan sikap bertanggungjawab kepada agama, diri, masyarakat, bangsa dan negara,
 Menghargai dan mensyukuri anugerah Tuhan, pemberian negara, masyarakat dan keluarga,
 Memumpuk dan membina disiplin diri, dan
 Membentuk akhlak mulia dan tingkah laku sopan.

(e) Insan yang Seimbang dan Harmonis Emosi
Seimbang dan harmonis emosi dapat menjana tingkah laku dan pemikiran sihat, matang dan bertolenrasi antara individu. Memang pendidikan mengasuh perasaan dan pemikiran sihat. Allah menegaskan dalam diri manusia ada seketul daging, jika sihat daging itu makan akan sihatlah pemiliknya. Yang dimaksudkan daging itu, dalam worlview Melayu ialah hati. Sebenarnya, ‘daging’ itu merujuk juga kepada kalbu atau jiwa. Dalamnya terkumpul budi fikir dan budi rasa manusia. Ciri-ciri emosi yang seimbang dan harmonis ialah;
 Berperasaan tenang dan tingkah laku terkawal,
 Mempunyai rasa kasih sayang terhadap semua makhluk,
 Memiliki semangat kekitaan dan perpaduan dan menghormati orang lain,
 Menghargai dan menyayangi keindahan alam,
 Menghargai dan menghormati keindahan buatan manusia selagi ia tidak bertentangan dengan agama dan adat budaya, dan
 Selalu bersikap matang dan terbuka.

(f) Insan yang Seimbang dan Harmonis Jasmani
Keseimbangan dan keharmonian jasmani merujuk kesihatan tubuh badan. Walaupun merujuk tubuh badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan semata-mata, melainkan juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga mempengaruhi kesihatan tubuh badan. Dalam ilmu perubatan Cina, tubuh badan yang sakit kerana tiada keseimbangan Yang dengan Ying dalam badan manusia. Demikian juga dalam sistem perubatan Melayu seperti pembomohan, Bageh, Main Puteri adalah berkenaan memulihkan ritual dalam diri manusia. Dalam hal ini, yang dikatakan jasmani yang seimbang dan harmoni ialah;
 Sihat badan dan sihat emosi,
 Sentiasa melakukan riadah, yoga atau bermeditasi,
 Sentiasa sedar, mencungkil, mengembangkan dan memanfaatkan bakat dan keupayaan diri,
 Sentiasa amal sikap mencuba dan berdikari,
 Menggunakan bakat dan keupayaan diri untuk kesejahteraan diri dan masyarakat, dan
 Berusaha meningkatkan daya pengeluaran.

(g) Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan
Malaysia sebuah negara berkonsepkan teologi. Setiap warganya mempunyai kepercayaan masing-masing. Hal ini termaktub dalam Rukun Negara dan menjadi prinsip pertama. Malaysia percaya peranan agama sebagai pembentuk dan pembina watak manusia berharmonis. Manusia yang patuh dan percaya kepada Tuhan akan dipercayai menjadi tonggak kedamaian, keamanan dan keharmonian masyarakat. Ciri-ciri manusia yang percaya dan patuh kepada Tuhan ialah;
 Mengakui dan percaya tentang wujudnya Tuhan,
 Mengakui bahawa manusia dan alam tidak wujud dengan sendiri,
 Mengakui bahawa segala tabii, kejadian dan fenomena alam ditetapkan oleh Tuhan,
 Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab memakmurkan alam,
 Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya,
 Sentiasa berusaha memperkukuhkan amalan keagamaan, dan
 Sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

(h) Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan
Pendidikan percuma dari tahun satu hingga tingkatan enam yang diberikan kepada setiap warganegara adalah bukti kesedaran kerajaan terhadap kepentingan ilmu. Pelbagai usaha dilakukan untuk membina insan berilmu dan berdaya saing. Ciri-ciri insan berilmu ialah;
 Mencintai ilmu pengetahuan,
 Gemar membaca dan menimba ilmu,
 Sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan,
 Bersedia untuk diajar dan belajar,
 Berfikiran luas, terbuka, kritis dan matang,
 Berusaha mengamal dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada, dan
 Sentiasa menggalakkan orang lain menambah ilmu pengetahuan.

(i) Rakyat Malaysia yang Berketerampilan
Kamus Dewan mencatatkan maksud terampil sebagai cekap (dalam melaksanakan sesuatu, menyelesaikan masalah dsb), mampu dan cekatan. Manakala maksud keterampilan ialah kecekapan, dan kemampuan yang tinggi. Oleh sebab itu, rakyat yang berketerampilan adalah merujuk kepada mereka yang mempunyaikecekapan dan kebolehan tinggi melaksanakan tanggungjawab dan tugas. Antara ciri-ciri rakyat yang berketerampilan ialah;
 Mempunyai kelayakan dan kebolehan yang sepadan dengan jawatan dan tugas,
 Mempunyai pengetahuan luas untuk melaksanakan sesuatu tugas,
 Dapat melaksanakan tugas dengan cepat, cekap, dan sempurna, dan
 Hasil kerjanya memuaskan pengguna dan pelanggan.

(j) Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia
Akhlak atau moral sangat penting bagi setiap individu. Walaupun perlakuan berakhlak tidak boleh diwarisi,namun amalan akhlak boleh dipelajari dan diamalkan. Orang yang berakhlak akan dipandang mulia dan dihormati. Antara ciri-ciri rakyat yang berakhlak mula ialah;
 Mempunyai pengetahuan tentang nilai-nilai murni, tatasusila dan adab,
 Mempunyai kesedaran tinggi terhadap perbuatan baik dan perbuatan buruk, dan
 Sentiasa mengamal dan mengutamakan nilai-nilai murni, tatasusila dan beradab dalam setiap perlakuan,

(k) Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab
Sikap bertanggungjawab merupakan antara ciri-ciri insan yang dituntut oleh agama. Insan yang bertanggungjawab dapat membina kejayaan diri, masyarakat dan negara. Masyarakat juga mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi apabila berurusan dengan individu yang bertanggungjawab. Antara ciri-ciri rakyat yang bertanggungjawab ialah;
 Menyedari dan faham bahawa setiap tugas adalah amanah,
 Menyedari dan faham bahawa setiap tugas perlu dilaksanakan dengan cekap, cepat dan sempurna,
 Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti mutu kerja,
 Sentiasa berusaha meningkatkan kuantiti pengeluaran,
 Sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang, adab dan adat bangsa, dan
 Berusaha memajukan diri, keluarga,masyarakat, agama, bangsa dan negara.

(l) Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri
Kesejahteraan diri meliputi kesejahteraan fizikal dan mental. Sihat fizikal ditandai keceriaan dan kelincahan diri, manakala sihat mental meliputi pemikiran dan perlakuan yang harmonis. Antara ciri-ciri kesejahteraan diri ialah;
 Mempunyai fikiran yang waras, jiwa yang tenang dan badan yang sihat,
 Mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi sebarang cabaran,
 Sentiasa mewujudkan perhubungan yang harmonis dengan orang lain,
 Matang bertindak dalam apa jua situasi, dan
 Berkelakuan tenang dan tidak terburu-buru.

(m) Rakyat Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan terhadap
Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara.
Setiap rakyat dituntut memberi sumbangan ikhlas ke arah keharmonian,kemakmuran dan pembinaan masyarakat dan negara. Masyarakat Melayu menganggap sumbangan, material dan nonmaterial, sebagai jasa atau budi. Orang berjasa atau orang berbudi dipandang tinggi dan dihormati. Hal ini banyak dijelaskan dalam pantun-pantun, misalnya pantun di bawah.
Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Antara ciri-ciri rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara ialah;
 Sentiasa berusaha memupuk perpaduan rakyat melalui pelbagai aktiviti sihat,
 Sentiasa berusaha memajukan membangunkan diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara,
 Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang, dan
 Sentiasa patuh pada prinsip dan Rukun Negara, dll.
Kesimpulan
Berasaskan maklumat di atas, kita dapati kerajaan bersungguh-sungguh memajukan rakyat dan negara. Usaha melaksanakan kemajuan itu digerakkan melalui pelbagai dasar dan perancangan, termasuklah melalui pembinaan falsafah pendidikan dan kurikulum pembelajaran di sekolah. Usaha itu digerakkan seawal usia dan dalam pelbagai bidang yang bersesuaian dengan kebolehan diri masing-masing. Langkah itu adalah sesuai, bak kata pepatah Cina, perjalanan beribu batu bermula dari langkah pertama. Maksud langkah pertama, dalam konteks ini, ialah memajukan insan seawal usia melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia, 1983. Kurikulum Baru Sekolah Rendah
Buku Panduan Am. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 1990. Pukal Latihan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: kementerian Pendidikan Malaysia.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2003.
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sumber : http://amirgassi.blogspot.com/2011/05/falsafah-pendidikan-kebangsaan-matlamat.html

Terdapat beberapa elemen yang dikenalpasti di dalam FPK, iaitu :

ELEMEN-ELEMEN FPK

1. Pendidikan suatu usaha berterusan

• Pendidikan adalah suatu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni.
• Proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat.
• Pendidkan awal kanak-kanak amat penting untuk membentuk asas sahsiah kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun.
• Sahsiah yang dibentuk akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan.
• Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka.
• Proses pendidikan yang berterusan bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.


2. Perkembangan potensi individu

• Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam.
• Bakat, potensi dan kebolehan seelok-eloknya dicungkil, dipupuk dan dikembangkan dan dipertingkatkan.
• Bakat, potensi dan kebolehan akan terjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling.
• Pendidikan seharusnya memberi peluang individu untuk berkembang bakat, potensi dan kebolehan mereka.

3. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu

• Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan, sebaliknya dihubungkait atau diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain.
• Perkembangan dan peningkatan seelok-eloknya merangkumi 4 aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.

4. Insan yang seimbang dan harmonis

• Amat penting bagi individu memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan diri yang baik (jasmani).
• Keseimbangan antara keepat-empat aspek di atas akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri dan orang lain.
• Individu sedemikian memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa jua masalah yang timbul.


5. Unsur intelek

• Mempunyai kemahiran asas 3M; membaca, mengira dan menulis.
• Sering berusaha untuk memperoleh dan mengembang ilmu yang benar.
• Berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif.
• Sanggup untuk berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran (menyebarluaskan ilmu).

6.Unsur rohani

• Menyedari dan percaya kepada Tuhan.
• Bersyukur dengan pemberian Tuhan.
• Berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.

7. Unsur emosi

• Mempunyai emosi yang matang dan stabil.
• Memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang.
• Mempunyai sifat kekitaan dan perpaduan.

8. Unsur jasmani

• Menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal.
• Mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial.
• Menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan masyarakat.

9. Kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan

• Mengakui tentang kewujudan Tuhan.
• Mengakui Tuhan sebagai pencipta manusia dan alam.
• Menyedari bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan.
• Menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala perbuatan dan tindakannya.
• Mengamalkan segala ajaran agama yang dianuti.

10. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

• Cintakan ilmu pengetahuan.
• Berusaha memupuk budaya ilmu dan budaya membaca.
• Mempunyai fikiran luas dan terbuka.

11. Rakyat Malaysia yang berketrampilan

• Mempunyai kecekapan dan kompetensi diri.
• Berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna.
• Berpandangan jauh dan berinisiatif.
• Memupuk pembawaan diri yang baik.

12. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

• Mempunyai perwatakan diri yang baik.
• Berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup.

13. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

• Boleh dipercayai.
• Menyedari bahawa setiap tugas dan tanggungjawab merupakan amanah dan harus dilaksanakan dengan baik.
• Menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap.
• Mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
• Berusaha untuk meningkatkan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

14. Rakyat Malaysia yang berupaya mencapai kesjahteraan diri

• Berfikiran waras dan berjiwa tenang.
• Mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup.

15. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

• Berusaha untuk memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat menghormati dan sebagainya.
• Berusaha untuk memajukan ekonomi negara berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan.
• Sering mengamalkan kestabilan politik dan keamanan negara.
• Mematuhi perlembagaan dan peraturan negara.
• Mempertahankan maruah diri, profesion, agama, bangsa dan negara.

16. Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri

• Mempunyai daya tahan fizikal dan mental yan tinggi.
• Berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup.

17. Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara

• Menjadikan Rukun Negara sebagai amalan hidup.
• Memupuk persefahaman keluarga.
• Mematuhi norma masyarakat.
• Cintakan negara.

SUmber : http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/12/elemen-elemen-dalam-falsafah-pendidikan.html

ELEMEN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
1. Pendidikan suatu usaha beterusan
Pendidikan ialah proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta penyerapan nilai murni supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia. Proses pendidikan ini merupakan proses secara berterusan sepanjang hayat. Maka pendidikan secara berterusan ini adalah bermula sejak pendidikan asas dalam peringkat awal kanak-kanak di rumah dan tadika, disambungkan di sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peringkat kanak-kanak dan remaja, dan diteruskan di peringkat selepas sekolah di tempat-tempat seperti institusi pendidikan tinggi, tempat bekerja dan komuniti atau dengan pembelajaran secara kendiri berbentuk ICT, secara online dan melalui media massa
2. Memperkembang potensi individu

Mengikut kajian individu memiliki pelbagai keupayaan, bakat dan potensi seperti intelek, jasmani , emosi, dan rohani sejak lahirnya. Kebanyakan potensi ini adalah terpendam dalam jiwa kendiri. Fungsi utama pendidikan ialah memperkembangkan dan meningkatkan potensi individu supaya mencapai tahap cemerlang. Di dalam hasrat falsafah pendidikan kebangsaan , unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri daya berfikir seperti :
• Menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.
• Menguasai kemahiran untuk memperoleh, meningkat dan menyebarkan ilmu.
• Dapat berfikir secara kritis dan kreatif(KBKK) dan
• Dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri dan orang lain, termasuk kemajuan negara.
Perkembangan unsur jasmani memberi tumpuan kepada kesihatan tubuh badan individu, seperti memperkembangkan kepada tahap keupayaan seperti :
• Menjaga kesihatan tubuh badan diri
• Melakukan riadah dengan sempurna
• Menggunakan bakat dan kemahiran teknikal/manipulatif dengan cekap.
• Memanfaatkan tenaga fizikal secara berdikari dan untuk kepentingan masyarakat dan
• Meningkatkan daya pengeluaran, demi memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa yang sihat dan kuat, iaitu :
• Memperolehi perasaan tenaga dan tingkah laku yang terkawal
• Memilki perasaan kasih sayang
• Memiliki semangat kekitaran, muhibbah, kerjasama dan perpaduan dan
• Mempunyai kemahiran menilai dan menghargai keindahan dan kesenian
Perkembangan unsur rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan kebatinan, iaitu :
• Mempunyai perasaan menyedari dan mengingati adanya Pencipta
• Mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri pemberian pencipta
• Mempunyai perasaan menyedar dan menginsaf terhadap tanggungjawab
• Dapat memupuk dan membina disiplin kendiri dan
• Dapat membentuk akhlak yang mulia
3. Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu
Perkembangan potensi individu tidak lengkap dan sempurna jika dilakukan secara berasingan. Ia harus diperkembangkan secara menyeluruh dan bersepadu. Maka untuk membentuk insan yang berilmu pengetahuan, bertenaga mahir serta berakhlak mulia dengan sempurna, aktiviti kokurikulum harus juga diberi penekanan, disamping kurikulum akademik yang dilaksanakan dalam bilik darjah.
Potensi yang ada pada diri individu hendaklah dikembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.
4. Insan yang seimbang dan harmonis
Insan yang seimbang dan harmonis merupakan insan yang berilmu pengetahuan bertenaga mahir, berakhlak mahir, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram tubuh badan sihat dan cergas serta kematangan emosi dan sosial.
Insan yang seimbang dan harmonis merupakan potensinya, iaitu intelek, jasmani, emosi, sosial dan rohani telah diperkembang secara menyeluruh, bersepadu dan dalam tahap optimum
Insan yang seimbang dan harmonis adalah individu yang memiliki kesedaran dan keinsafan terhadap tanggungjawab diri, keluarga dan negara. Individu ini akan sentiasa berikhtiar dan berusaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang berguna, demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.
Matlamat memupuk insan yang seimbang dan harmonis boleh dicapai apabila semua potensi yang ada pada dirinya telah dikembangkan secara selaras, menyuruh dan harmonis. Seorang individu yang seimbang dan harmonis adalah manusia yang telah memiliki sahsiah yang bersepadu, menikmati keseimbangan dan kesejahteraan dalam jiwanya. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa merasa bersyukur, bersedia menerima segala ujian dan cabaran hidup serta sentiasa berikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan fikiran yang tenang.
5. Kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan
Kepercayaan ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Oleh itu, manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam usaha mentadbir dan memakmurkan alamnya.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan memberi tumpuan seperti berikut :
• Mengakui wujudnya Pencipta;
• Mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta;
• Mengetahui hukum dan fenomena alam adalah peraturan yang ditetapkan oleh Pencipta;
• Menyedari manusia dijadikan untuk memajukan alam;
• Menyedari manusia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbuatan diri sendiri;
• Melakukan kebaikan dan menghindari perbuatan kejahatan;
• Mengikuti dan mengamalkan ajaran agama; dan
• Meningkatkan serta mengukuhkan kepercayaan beragama.
6. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Rakyat yang memiliki sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta akan menggunakannya untuk manfaat diri dan orang lain.Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan merupakan rakyat yang memiliki cir-ciri seperti :
• Mencintai ilmu pengetahuan;
• Gemar membaca;
• Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan;
• Sentiasa berusaha meningkatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan;
• Memanfaatkan ilmu untuk kebaikan diri dan orang lain; dan
• Berfikiran terbuka, luas dan mendalam.
7. Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran sentiasa rela memberi sumbangannya demi kemajuan negara. Mereka bukan sahaja mampu melaksanakan tugas dalam jangka masa yang singkat tetapi juga dengan cekap dan sempurna. Rakyat Malaysia yang berketrampilan merupakan rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :
• Berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan;
• Mempunyai kemahiran yang sesuai dalam pelaksanakan tugasnya; dan
• Dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.
8. Rakyat Malaysia berakhlak mulia
Rakyat yang memiliki tingkah laku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia ialah rakyat yang memperoleh cirri-ciri seperti :
• Mengetahui yang mana nilai baik dan mana yang buruk;
• Menyedari kesan dan akibat daripada perbuatan baik dan buruk;
• Mempunyai keyakinan terhadap nilai murni;
• Dapat menghayati nilai kerohanian kemanusian serta kewarganegaraan; dan
• Mengamalkan kelakuan baik dan mengelakkan perbuatan buruk.
9. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
Rakyat yang mempunyai tanggungjawab yang sempurna terhadap Tuhan, bangsa dan, negara, dan melaksanakan tugasnya dengan cekap, bersih dan amanah.Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab ialah rakyat yang memiliki ciri-ciri seperti :
• Menyedari tugas dan tanggungjawab adalah amanah dan kewajian;
• Menyedari tugas dan tanggungjawab harus dilaksanakn dengan sempurna;
• Sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran;
• Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara; dan
• Sentiasa berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.
10. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri
Melalui perkembangan potensi individu secara menyeluruh, rakyat akan dapat memiliki jiwa yang tenteram untuk memahami keperluannya sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Rakyat Malaysia yang berupaya mencapai kesejahteran diri ialah rakyat yang memiliki keupayan seperti:
• Daya ketahanan diri yang kuat untuk menangani cabaran hidup dari semasa ke semasa;
• Berfikiran waras dengan jiwa tenang dan tubuh badan yang sihat; dan
• Memperoleh kemahiran untuk mewujudkan pertubuhan baik.
11. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan
Melalui latihan, rakyat boleh menggunakan tenaganya yang mahir, produktif dan inovatif untuk mempertingkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara ialah rakyat yang memperolehi keupayaan seperti:
• Memupuk keharmonian keluarga;
• Memupuk semangat kerjasama, kekitaan, perpaduan, muhibbah, tolerensi dan hormat;
• Menguasai kemahiran sains dan teknologi untuk perkembangan dan kemajuan negara;
• Mengekalkan kestabilan negara;
• Mematuhi, mengekalkan dan mempertahankan Perlembagaan;
• Menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara; dan
Bersemangat patriotik dan cintakan negara

sumber: http://guru-oh-guru.blogspot.com/2011/08/elemen-falsafah-pendidikan-kebangsaan.html

No comments: