Pages

Monday, June 16, 2008

Nik Aziz sedia bermuzakarah


KOTA BHARU 16 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan pemimpin utama Melayu terutamanya UMNO bagi membincangkan kepentingan masa depan umat Islam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia boleh menjadi kenyataan dengan syarat pemimpin UMNO terutamanya benar-benar menunjukkan keikhlasan.

Nik Abdul Aziz tidak mahu UMNO menjadikan perbincangan itu kelak kerana terdesak kerana mahu mencaturkan semula politik akibat kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu.

“Perkara muzakarah ini dah lama kita timbulkan dulu tetapi UMNO tidak menerimanya dan apabila ditanya adakah Pas setuju, ia tidak menjadi isu kerana kita memang dah lama bersedia, cuma saya mahu UMNO ikhlas.

“Tetapi saya yakin UMNO sukar untuk bertindak ikhlas kerana dalam amalan kebangsaan ia tidak mengajar keikhlasan melainkan parti ini kembali kepada Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Tabung Haji (TaHa) peringkat Kelantan dan majlis perletakan batu asas asrama Ma‘ahad Muhammadi lelaki di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan (Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi) Lembaga Tabung Haji, Kamarudin Mat Ali.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas rayuan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sendiri duduk semeja.

No comments: