Pages

Monday, June 2, 2008

Imam Sabri popular di Australia



SABRI Samson bersama Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd.


KEMASYHURAN Malaysia sebagai negara Islam contoh bukan lagi rahsia. Pengiktirafan itu adalah berdasarkan kejayaan membangunkan negara yang masyarakatnya pelbagai kaum serta mengamalkan Islam yang sederhana.Berkongsi kemasyhuran ini ialah Sabri Samson, 59, anak kelahiran Sijangkang, Selangor, yang kini menetap di Tasmania, Australia.

Walaupun profesion rasminya ialah seorang guru sains dan elektronik di Hobart, namun penglibatannya dalam memimpin kegiatan Islam bandar tersebut begitu menyerlah.

Buktinya, Sabri yang kini bertugas sebagai Imam Masjid Hobart selepas bersara kira-kira tujuh tahun lalu dicalonkan sebagai salah seorang finalis Hero Tempatan Australia 2008.

Menceritakan kisahnya di Tasmania, Sabri berkata, beliau adalah antara orang bertuah yang mendapat biasiswa Colombo bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang sains (fizik dan matematik) di Universiti Tasmania (UniTas) pada tahun 1967.

Katanya, selepas tamat pengajian beliau bertugas sebagai guru di pelbagai Sekolah Tinggi di sekitar Hobart. Tugas terakhirnya ialah di Sekolah Tinggi Rosetta sehinggalah bersara pada April 2001 selepas menunaikan fardu haji.

"Saya telah menetap di sini selama 41 tahun dan bertugas sebagai Imam di Masjid Hobart sejak 1995.

"Namun, ia bukan pilihan saya, sebaliknya kerana ketika itu tidak ada sesiapa yang mahu memimpin orang Muslim di Tasmania," katanya dalam e-mel kepada Mega.

Sabri berkata, mereka mendapat hak ke atas masjid itu pada tahun 1985 dan pelbagai program keagamaan dijalankan dengan bantuan para pelajar Malaysia yang silih berganti selepas menamatkan pengajian.

Selain mengadakan solat Jumaat, mereka mengadakan majlis-majlis sosial sebulan sekali di mana para tetamu membawa makanan sendiri. "Kami turut menyambut festival kebesaran Islam seperti Maulid Nabi dengan mengadakan ceramah berkaitan sirah Rasulullah SAW," jelas penuntut Sekolah Menengah Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur, pada tahun 1966 ini.

Sebagai budak kampung, Sabri menoreh getah, memetik kopi dan mengait kelapa. Beliau juga suka menanam ubi, keladi, pisang dan sayur-sayuran.

"Ibu bapa saya masih hidup di kampung. Ayah kini berusia 83 tahun dan ibu 87 tahun. Saya anak sulung daripada 10 beradik (tiga daripadanya perempuan)," katanya.

Pada Ramadan, kata Sabri, mereka menganjurkan majlis berbuka puasa pada hujung minggu di masjid.

Biasanya warga Malaysia dan Singapura mengadakannya pada Sabtu minggu pertama. Minggu seterusnya dianjurkan oleh keluarga India dan Pakistan. Begitulah seterusnya.

"Kita juga turut menikmati hidangan dari Fiji dan Asia Barat. Biasanya jemaah yang hadir mencecah 250 orang. Ada juga yang menjemput rakan-rakan berbuka puasa di rumah dan seterusnya mengadakan solat tarawih," kata Sabri.

Menurut Sabri lagi walaupun bilangan umat Islam di situ hanya kira-kira 1,000 orang namun kemeriahan Ramadan tetap terasa.

"Pada sebelah malam Ramadan, seperti biasa solat tarawih 20 rakaat dilaksanakan. Seperti juga di kebanyakan tempat, kami turut khatam al-Quran pada bulan Ramadan. Pada malam 10 terakhir Ramadan pula, ada yang beriktikaf di masjid.

"Tahun lalu kami bertuah kerana mendapat khidmat imam hafiz dari Bangladesh yang membuat ijazah kedoktoran (PhD) di sini," tambahnya.

Apabila menyambut Aidil Fitri, Sabri berkata, mereka mengadakan rumah terbuka selepas solat hari raya. Bagi memeriahkan suasana, kanak-kanak diberi gula-gula manakala rakan-rakan yang hadir pula bertukar-tukar kuih dan juadah hari raya.

Bagi sambutan Aidil Adha, mereka tidak ketinggalan mengadakan ibadat korban.

"Harga kambing dan biri-biri di sini tidak mahal. Saya masih ingat pada tahun 70-an harga seekor kambing adalah sekitar A$5 (RM15). Kini harganya adalah sekitar RM150 seekor.

"Pertubuhan Muslim Tasmania biasanya menganjurkan BBQ di masjid atau pun makan malam untuk seluruh umat Islam di sini. Dalam kedua-dua majlis perayaan, kami menjemput masyarakat bukan Islam untuk turut serta," jelasnya.

Mengenai perkembangan Islam di Australia, Sabri percaya, Islam mempunyai masa depan yang cerah di sini. Sebabnya kebelakangan ini didapati semakin ramai yang ingin kembali kepada Islam.

Selain itu, katanya, terdapat kira-kira 354 sekolah Islam dan 300 surau serta masjid di seluruh Australia.

Kini, kata beliau, kerajaan akan membelanjakan RM24 juta bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan dalam Pengajian Islam.

"Pusat ini akan dibina di Melbourne, Sydney dan Universiti Queensland. Insya-Allah kami akan mengeluarkan imam tempatan dalam sedikit masa lagi," katanya.

Menurut Sabri, beliau ialah antara delegasi khas Muslim dari seluruh Australia yang dibawa melawat Malaysia dan Indonesia selama dua minggu di bawah tajaan kerajaan Australia, November lalu.

Antara program itu melibatkan kunjungan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Maahad Tahfiz al-Quran dan Sains di Kelantan.

"Kami juga berkunjung ke Kelantan dan berkesempatan bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat," jelasnya.

Dalam kunjungan ke Indonesia, kata Sabri, pihaknya mendapat tahu Australia membantu membina banyak madrasah di sana dengan dana RM6 juta bagi tempoh lima tahun.

"Kami melihat sebuah madrasah yang indah iaitu Pondok Pesantren Nurul Ihsan, Cicangkudu siap dibina.

"Ia terletak di tengah-tengah belukar di Tasekmalaya yang kini mempunyai kumpulan pertama pelajar seramai 45 orang," katanya.

Selain bertugas sebagai imam, Sabri juga dilantik sebagai Ahli Eksekutif Majlis Agama Islam Tasmania sejak tahun 1984.

Selaras dengan tugas itu, beliau ialah jurucakap bagi komuniti Muslim Tasmania selain mewujudkan sinergi di kalangan pelbagai agama menerusi media.

Pada masa yang sama, Sabri sering dijemput memberi ceramah tentang Islam oleh pihak gereja, universiti, Akademi Polis, sekolah termasuklah Kelab Rotary.

Katanya, rakyat Australia mempunyai persepsi yang positif terhadap Muslim di sini. Islam masih berada di peringkat awal walaupun terdapat wira Islam dari Afghanistan pada tahun 1800.

Namun, kini waris mereka hanya tinggal nama seperti Cossoms (mungkin Kasim) dan keturunan Khan. Keturunan mereka ini bukan lagi Muslim.

Sabri kini bekerjasama dengan UniTas supaya pelajar Muslim disediakan kemudahan untuk bersolat.

Tambahan pula, tahun ini dijangka Tasmania akan menerima 100 pelajar Muslim dari Arab Saudi dan sejumlah besar dari Malaysia yang mengikuti pengajian perubatan.

"Kami telah menubuhkan Majlis Kebangsaan Imam-Imam Australia yang mengandungi 15 ahli eksekutif dari seluruh negara. Dengan bantuan dari Malaysia dan Indonesia, dijangka kami dapat menyelesaikan beberapa isu setempat berhubung dengan keperluan kami," tambahnya.

No comments: