Pages

Showing posts with label mati kerana terbakar. Show all posts
Showing posts with label mati kerana terbakar. Show all posts

Sunday, October 28, 2012

Taun Menyebabkan Syahid

Syahid dari segi bahasanya bermaksud penyaksian. Manakalah dari segi perbahasan, syahid dirujuk sebagai seseorang yang mati terbunuh di medan perang kerana menegakkan kalimah Allah. Ini berdasarkan hadis baginda S.A.W , Dari Abu Musa Al-Asyari menyatakan, telah datang dua orang lelaki menemui baginda S.A.W lantas bertanya untuk memahami sesuatu , "Seorang perajurit berperang kerana harta , seorang lagi kerana Allah dan seorang lagi berperang kerana ingin dilihat kedudukannya. Maka yang mana satukah berperang di Jalan Allah?" Rasulullah S.A.W pun menjawab, ' Orang yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah itu tinggi, itu adalah berperang pada jalan ." ( HR Bukhari )

Walaupun terdapat hadis yang menunjukkan mati berperang menegakkan kalimah Allah sebagai mati syahid, namun begitu terdapat juga hadis lain yang menjelaskan tentang kematian syahid, juga boleh berlaku kepada mereka yang tidak berjuang, menegakkan kalimah Allah. Hadis dari Abu Hurairah  r.a menyebutkan , bersabda baginda S.A.W ' Syudaha itu ada lima , mati kerana taun, penyakit dalam perut , lemas , dihempap runtuhan dan fi sabilillah ( di jalan Allah ) " . ( HR Bukhari & Muslim )

Manakalah dalam hadis yang lain pula Jabir bin Atik meriwayatkan dari baginda S.A.W " Syahid itu ada tujuh , selain dari peperangan di jalan Allah iaitu , mati kerana taun, mati kerana lemas , penyakit bengkak di sebelah badan , penyakit dalam perut , mati kerana terbakar , mati kerana tertimbus runtuhan dan wanita yang mati dengan kandungannya. " ( HR Abu Daud )

Berdasarkan hadis di atas , boleh kita simpulkan syahid itu bukan hanya tertakluk pada mati berperang menegakkan kalimah Allah sahaja, tetapi syahid itu juga boleh diperoleh sekiranya seseorang itu mati disebabkan oleh perkara yang disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah dan Jabir Bin Atik.

Justeru , dalam merungkaikan permasalahan ini , ulamak meletakkan syahid itu dalam dua bahagian, kategori pertama syahid dunia dan akhirat dan kategori kedua syahid akhirat bukan dunia. Contoh kategori yang pertama seperti mati kerana berperang menegakkan kalimah Allah sebagaimana yang masyarakat sedia maklum.  Manakala kategori kedua adalah di kalangan mereka yang disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a di atas termasuklah penyakit TAUN.

Sumber : Majalan Al - Islam