Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Jun – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi hari ini menyeru golongan ulama supaya sentiasa berusaha meyakinkan ahli-ahli parti terhadap idea-dea baru yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan, contohnya pembentukan kerajaan perpaduan.
Katanya, ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan idea tersebut, sepatutnya ulama adalah golongan utama yang menjalankan penyelidikan dan melihat sejauh mana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah.
‘‘Selepas sedikit kajian dibuat, didapati Afrika Selatan dan Indonesia adalah antara negara yang awal mengamalkan konsep negara perpaduan selepas United Kingdom pada suatu masa dahulu selepas Perang Dunia Pertama.
‘‘Penjelasan dari perspektif syarak yang digabungkan dengan pendapat cendekiawan politik semasa akan dapat membantu mengukuhkan idea Presiden yang juga seorang ulama. Ini sekadar contoh apa yang berlaku pada sesi lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas, di sini hari ini.
Mohamed Iraq berkata, sebagai sebuah dewan yang tinggi dalam Pas, golongan ulama perlu mengikuti perkembangan dalaman parti dan seterusnya membantu kepimpinan dalam mengeluarkan, mempromosikan dan mempertahankan idea-idea yang dikemukakan oleh kepimpinan parti.
Selain itu juga, Mohamed Iraq meminta ulama dalam parti itu supaya membuka minda dan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat diselaraskan dengan tuntutan agama untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
Katanya, golongan ulama juga perlu mendekatkan diri dan bertukar pandangan dengan golongan profesional seperti ahli ekonomi, tokoh undang-undang, pakar teknologi dan ahli politik bagi meningkatkan pengetahuan dan kecekapan mereka untuk mentadbir.
‘‘Ini adalah kerana ada ulama yang tinggi ilmu agamanya tetapi kurang dari segi kemampuan pentadbiran atau memahami isu semasa.
‘‘Ulama tidak boleh lari daripada sejarah dan situasi kemasyarakatan. Kalau dapat, majlis-majlis wacana antara ulama dan golongan profesional hendaklah diadakan dengan lebih kerap,” katanya.
Beliau mengingatkan anggota parti itu supaya taat kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan hadis.
‘‘Jangan kita tertipu dan dipermainkan oleh nafsu kita sehingga mengutamakan kepentingan peribadi, keperluan semasa dan andaian kita sahaja sehingga prinsip taat tidak terlaksana,” katanya.
Mohamed Iraq berkata, perbezaan pendapat sememangnya dibolehkan dalam perkara furu’ (cabang) tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan itu, walaupun mungkin bertentangan dengan pandangan sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment