Pages

Monday, April 14, 2008

Antara ketuanan dan penguasaan politik Melayu



TIDAK boleh dinafikan bahawa falsafah politik UMNO berlandaskan kepentingan orang Melayu termaktub dalam Perkara 153(i) Perlembagaan Persekutuan iaitu: "Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu (dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini)."

Dalam evolusi wacana politik Melayu konsep 'ketuanan' muncul dan diterima pakai sebagai konsep yang merangkumi pelbagai aspek kuasa politik yang perlu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal negara.

Soal ketuanan orang Melayu atau penguasaan politik mereka dibangkitkan dari semasa ke semasa apabila timbul keadaan di mana ia terancam. Ini dilakukan untuk mengingatkan dan mencabar orang Melayu mempertahankan kedudukan bahasa, bangsa dan agama mereka yang diperlekehkan oleh pihakpihak tertentu.

Pemimpin politik sering mengipas semangat orang Melayu untuk mengekalkan dominasi politik mereka yang sedang melalui perubahan atau pergolakan. Malah raja-raja Melayu sendiri mengingatkan rakyat tentang kedaulatan bangsa Melayu dan hak mereka.

Kini UMNO sedang mengalami pukulan hebat akibat Pilihan Raya Umum Ke-12. Parti Melayu terulung ini diancam dari luar dan dalam secara serius. Kejayaan parti-parti pembangkang yang mempunyai ramai ahli bukan Melayu berpotensi meruntuhkan kuasa politik Melayu dan seterusnya kedudukan istimewa orang Melayu sendiri.

Orang Melayu harus bersatu padu memperjuang dan memperkukuhkan semangat politik mereka supaya keistimewaan yang mereka nikmati selepas kemerdekaan hingga kini dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya.

Begitu juga keinginan kaum-kaum lain memiliki hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Memang menjadi kelaziman hidup bahawa pertamanya kita akan mempertahankan hak kelompok kita sendiri. Pada tahap perkongsian sosio ekonomi negara, kek perlu dibahagi-bahagikan mengikut 'kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain' seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak harus dipertikaikan.

Yang ingin saya pertikaikan ialah penggunaan perkataan 'ketuanan' bagi merujuk kepada "kepentingan bangsa dan agama" orang Melayu (Rencana Pengarang Utusan Malaysia, 14 April 2008).

Kamus Dewan menyenaraikan banyak entri dan penjelasan bagi perkataan "tuan" termasuk "orang tempat menghambakan diri", "kepala atau pengurus" dan "pemilik". Perkataan "ketuanan" ditafsirkan sebagai "hak menguasai dan memerintah sebuah (negeri, daerah, dll), kedaulatan."

Sistem semantik sesuatu bahasa memberi perkataan-perkataan dalam bahasa itu bukan sahaja makna denotatif/rujukan tetapi juga makna konotatif/pragmatik yang dipengaruhi oleh konteks sosio budaya bahasa tersebut.

Dalam konteks sosio budaya bahasa Melayu konsep 'ketuanan' boleh, pada satu tahap, dikaitkan dengan 'ketuanan' British yang menjajah Tanah Melayu. Orang Inggeris dipanggil 'Tuan' yang menguasai penduduk asal negara serta kaum pendatang. Sejarah negara mewarnakan penguasaan politik serta dasar pentadbiran British sebagai berat sebelah. Ia dikatakan mewujudkan ketidakseimbangan sosio ekonomi negara yang kekal hingga ke hari ini.

Justeru orang Melayu tidak seharusnya mewarisi konsep kuasa yang mereka sendiri tolak tidak lama dahulu.

Konsep 'ketuanan' mengandungi konotasi meninggi diri dengan natijah memandang rendah pada orang lain. Seolah-olah orang Melayu sekarang sudah menjadi 'Tuan' yang diberi kuasa mutlak, sedangkan kuasa politik mereka berlandaskan muafakat bukan sahaja di dalam kelompok dan parti sendiri tetapi juga persefahaman dengan kaum dan parti lain.

Pemahaman konsep kuasa yang memihak ini boleh menyebabkan kelompok dan parti bukan Melayu mengkhuatiri tujuan UMNO sebenarnya. Dengan ini mereka pula akan merasa terancam.

Saya ingin mengesyorkan penggunaan konsep yang mempunyai makna denotatif/neutral iaitu 'penguasaan politik Melayu' bagi menggantikan konsep 'ketuanan Melayu' yang mempunyai makna konotatif yang bermuslihat.

- HALIMAH MOHD. SAID

Damansara Heights

Kuala Lumpur.
Sumber Utusan Malaysia

Jaga kepentingan Melayu

Jaga kepentingan Melayu


Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya.

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Aceh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mualaf bertakrif Melayu

Dari petikan rangkap puisi tersebut, penulisnya Allahyarham Usman Awang telah memberi satu takrifan tentang siapa itu Melayu yang disusunnya dalam baris-baris ayat yang cukup indah.

Takrifan sasterawan agung ini juga sebenarnya tidak lari dengan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung maksud Melayu.

Justeru tidak ada polemik yang harus dipanjangkan tentang takrifan Melayu kerana sesiapa yang beragama Islam di negara ini juga merupakan Melayu dalam konteks yang luas.

Namun sedihnya, masih ada lagi yang keliru apabila menyentuh soal Melayu hinggakan sesetengahnya menganggap perbincangan berhubung Melayu adalah suatu asabiah sempit.

Justeru dapat dilihat bagaimana suara-suara ke arah penyatuan Melayu masih tidak disambut dengan satu keghairahan yang diharapkan.

Datuk Nakhaie Ahmad ketika mengulas soal ini ternyata kesal dengan suara-suara sinis mempertikaikan kepada usaha-usaha penyatuan umat Melayu.

"Golongan ini kata, mengapa perpaduan Melayu, dan bukan perpaduan Islam? Sebenarnya Islam sebagai agama tidak perlu disatukan lagi kerana ia risalah kekal abadi yang dipelihara Allah.

"Maka yang perlu kepada perpaduan ialah orang Islam yang berpecah belah dan untuk menghimpunkan seluruh umat Islam di dunia ini tentu di luar keupayaan.

"Jadi di Malaysia kalau tidak Melayu, siapa lagi yang harus disatukan kerana rebah Melayu maka rebahlah Islam," ujar ulama tersebut.

Sebab itu apa yang dikatakan Nakhaie memang benar, Islam mungkin terjejas di Malaysia jika Melayu selaku pendukungnya rebah bila melihat keputusan pilihan raya umum lalu yang jelas menggambarkan kaburnya survival Melayu.

Bukan soal UMNO hilang sokongan semata-mata, sebaliknya jika dilihat dalam pembangkang sendiri, Pas mempunyai jumlah kerusi paling sedikit antara parti pembangkang yang lain.

Sedangkan Pas adalah parti pembangkang utama Melayu sama seperti mana sandaran orang Melayu kepada UMNO di pihak kerajaan atau Barisan Nasional (BN).

Soal Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin boleh diketepikan kerana masih banyak tanda tanya walaupun penerajunya adalah pemimpin Melayu.

Ini kerana sikap 'membujur lalu melintang patah' pemimpin mereka seperti yang terbukti dalam tindak-tanduk mereka, menguatkan lagi kesangsian itu.

Mungkin boleh difahami walau apa sahaja alasan, parti pembangkang tidak berminat atau tidak berani menunjukkan minat kerana mereka baru sahaja mendapat sokongan 'luar biasa' bukan Melayu pada pilihan raya yang lalu.

Namun biar apa pun halangan daripada orang Melayu sendiri, ia tidak harus menjadi sebab mengapa gerakan penyatuan Melayu tidak boleh diusahakan.

Setidak-tidaknya ia penting untuk meniup kesedaran dan keinsafan bahawa masa sekarang cukup mendesak untuk mempertahankan segala perkara yang membentuk ketuanan Melayu.

Atas sebab itu, beberapa pertubuhan Melayu Islam bergabung menubuhkan Barisan Bertindak Penyatuan Melayu (BBPM) yang selesai mengadakan perhimpunannya Sabtu lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Perhimpunan bersejarah itu walaupun sebahagian besarnya dihadiri 'orang-orang lama' namun impak kepentingannya tidak boleh dinafikan.

Paling tidak, generasi lama membangkitkan bagaimana perkara-perkara yang menjadi asas ketuanan Melayu terutama agama Islam, hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu kini jelas terancam.

Seperti kata bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad, ancaman ini juga sebenarnya bukan hanya kerana perkembangan politik semasa yang menyaksikan suara-suara menuntut hak sama rata semakin jelas kedengaran.

"Tetapi kelemahan jati diri Melayu itu sendiri antara puncanya sedangkan selama 450 tahun Melayu dijajah tidak ada pun umat terdahulu menganut Kristian atau bangga bertutur dalam bahasa penjajah berbanding sekarang," katanya.

Biarpun wujudnya ancaman globalisasi yang menghakis kemelayuan, namun dalam masa yang sama tidak ada sesiapa boleh menidakkan bahawa perkembangan selepas pilihan raya lalu adalah ancaman terdekat yang mampu meruntuhkan ketuanan Melayu.

Ini seperti mana titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan perhimpunan tersebut yang pada baginda, jika tidak dilakukan sesuatu, tidak mustahil ketuanan Melayu di negara yang Melayu sendiri adalah penduduk asalnya, akan lenyap.

Sehubungan itu gesaan yang dibuat oleh Tengku Mahkota Kelantan supaya semua pemimpin Melayu Islam bermuzakarah secara tertutup dan bijaksana harus diberi perhatian serius.

Ini kerana yang tinggal pada Melayu kini hanyalah kekuasaan politik biarpun ia semakin terhakis.

Maka inilah amanah terpenting yang dipikul pemimpin politik Melayu sekarang bahawa mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelangsungan ketuanan Melayu di negara ini.

Seperti mana kata tokoh budayawan, Tan Sri Abdul Aziz Tapa pada perhimpunan tersebut, masa depan Melayu bergantung ke mana arah tuju yang dibawa oleh pemimpin kerana akar umbi hanyalah ibarat gerabak.

Untuk membawa ke jalan yang sepatutnya, maka pemimpin politik Melayu harus sepakat pada perkara-perkara pokok membabitkan kepentingan bangsa. Tetapi mencari kesepakatan ini hanya boleh dilakukan jika ada muzakarah.

Oleh itu, perbezaan ideologi harus diketepikan dan sebaliknya secara berlapang dada menyahut seruan penyatuan dengan mengikis sebarang rasa bimbang tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu kerana yang mustahak adalah memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Seperti yang diingatkan oleh Tengku Muhammad Faris, biar apa pun, pemimpin Melayu harus tahu jangan berpolitik 'hingga menang sorak kampung tergadai'.

Sumber Utusan Malaysia

Kepentingan Melayu: Pas, PKR sedia muafakat dengan UMNO

Kepentingan Melayu: Pas, PKR sedia muafakat dengan UMNO

KUALA LUMPUR 14 April – Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak dan membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Mereka juga meminta agar permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, cadangan tersebut bukan satu perkara baru kerana Pas sudah lama meminta UMNO untuk bermuafakat.

“Pas sudah lama menulis surat kepada UMNO untuk bermuafakat demi Melayu dan Islam, tetapi permintaan itu tidak pernah dilayan sebelum ini.

“Apabila UMNO sendiri mencadangkan untuk bermuafakat, saya bersetuju kerana ingin menjaga kepentingan bersama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria menggesa pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan PKR mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Katanya, permuafakatan perlu agar isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, permuafakatan membawa maksud yang amat baik, tetapi ia perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain.

Katanya, pemimpin UMNO terlebih dahulu perlu jelas terhadap prinsip-prinsip kesaksamaan itu supaya mereka sendiri tidak mewujudkan jurang antara Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan bukan Melayu.

“Kita tidak mahu permuafakatan ini menjadi kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu seperti dalam DEB, sebaliknya ia perlu menjaga kepentingan semua pihak.

“Jika Melayu mahu terus dihormati dan terus memimpin kaum-kaum lain, maka mereka perlu bersikap adil sesama sendiri dan juga kepada kaum-kaum lain,” katanya.






http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm